8 projek naik taraf, baik pulih KDN di Sabah

8 projek naik taraf, baik pulih KDN di Sabah

Kota Kinabalu: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyenaraikan lapan projek naiktaraf dan baikpulih agensi KDN yang diluluskan dibawah Pelan Pusingan Kedua Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua projek naik taraf dan baik pulih itu adalah membabitkan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM7.4 juta.

Hamzah berucap pada majlis penutupan Program “Kita Demi Negara” Zon Sabah anjuran KDN di Dataran Kompleks Sukan Likas

Katanya, semua projek berkenaan adalah permintaan daripada rakyat Sabah sendiri yang dibuat melalui kerajaan negeri.

“Peruntukan berkenaan membabitkan pembaikan dan penggantian lif-lif Kompleks Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah, naik taraf Pusat Latihan RELA Negeri Sabah dan Pembaikan pejabat, perumahan dan kemudahan PDRM.

“Selain itu, ia juga termasuk pembaikan Ibu Pejabat Polis Kontigen Sabah, pembaikan cerun di Balai Polis Tongod, Kinabatangan, naik taraf dan penyelenggaraan Pusat Tahanan Sementara Sibuga, Papar, Menggatal dan Tawau serta naik taraf Genset di Sekolah Henry Gurney Keningau dan naik Taraf jeti Maritim di Tawau,” katanya.

Orang ramai yang hadir pada majlis penutupan Program “Kita Demi Negara” Zon Sabah anjuran KDN di Dataran Kompleks Sukan Likas.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program “Kita Demi Negara” Zon Sabah anjuran KDN di Dataran Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

Majlis penutupan berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri beberapa menteri dan pembantu menteri kerajaan negeri.

Selain itu, Hamzah berkata, dibawah Pelan Pusingan Kedua RMK-12, terdapat lima lagi projek baru yang sudah dikenal pasti untuk dilaksanakan di negeri ini.

Katanya, antara projek baru itu ialah pembinaan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Manalunan, Kinabatangan, pembinaan Pos Kawalan PGA Poirgon, Kalabakan, pembinaan Balai Polis Kuala Penyu dan Perumahan, Beaufort serta pembinaan Pondok Polis Kampung Pimping dan Perumahan Membakut.

“Pada masa yang sama, dalam usaha memperkasakan kawalan sempadan di Sabah, KDN turut melaksanakan beberapa inisiatif terutamanya dalam menambah bilangan pos kawalan PGA di kawasan pedalaman di Negeri Sabah dan Sarawak.

“Pada tahun ini, sebuah pos kawalan PGA sedang dalam proses pembinaan di Pagalungan, Nabawan bagi meningkatkan kawalan keselamatan dan kedaulatan negara di sempadan.

“Ia juga akan meningkatkan ‘omnipresent’ anggota keselamatan di kawasan sempadan bertujuan bagi mengelakkan jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan pendatang tanpa izin dan penyeludupan barang-barang bersubsidi ke luar sempadan negara,” katanya.

Hamzah berkata, KDN juga sedang menimbang untuk membangunkan satu lagi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bantul, Pagalungan.

“Semua usaha ini adalah untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan diharapkan limpahan pembangunan ICQS ini akan dapat dirasai oleh penduduk tempatan,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata KDN juga sudah melaksanakan transformasi ke atas pos kawalan PGA untuk turut berfungsi sebagai balai polis.

Katanya, inisiatif itu adalah contoh terbaik kerjasama strategik di antara dua Jabatan di bawah KDN apabila perluasan fungsi kepada balai polis ini juga melibatkan urusan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) iaitu bagi pendaftaran kelahiran dan kematian.

“Untuk tujuan itu, terdapat sembilan PGA di Sabah diperluaskan fungsi sebagai balai polis. Antaranya dua pos di Semporna, dua di Beluran, dan masing-masing satu di Tawau, Kota Belud, Kudat, Kinabatangan dan Kota Marudu,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|