Keputusan bubar Parlimen perlu perbincangan kabinet

Keputusan bubar Parlimen perlu perbincangan kabinet

Kota Kinabalu: Keputusan untuk membubarkan Parlimen perlu dibincangkan di peringkat Kabinet negara kerana ia termaktub dalam perlembagaan negara.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Perdana Menteri hanya boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen selepas diputuskan di peringkat Kabinet.

Katanya, ada dakwaan ia tidak perlu dibincangkan di Kabinet namun ia berbeza dengan sebelumnya kerana ketika ini kerajaan ditunjangi oleh banyak parti.

“Perdana Menteri kena ambil pandangan daripada kabinet sebelum membuat keputusan kerana ia ada dalam Perlembagaan.

“Ada orang kata, Perdana Menteri berkuasa. Tidak apa, pecat saja menteri-menteri dari parti beliau, ia bermakna dia sudah hilang majoriti. Selepas itu, dia tak boleh nasihat Yang di-Pertuan Agong, lagi, hanya boleh minta saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung pendirian Bersatu mengenai pimpinan tertinggi UMNO yang menuntut supaya PRU segera diadakan tahun ini.

Hamzah berkata, keputusan masih perlu bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan bila pembubaran Parlimen boleh dilakukan.

Katanya, berdasarkan keadaan itu, rakyat akan memahami siapa yang berhemah dalam menuruti rukun negara.

“Kerana kita nak rakyat yang kita dahulukan, negara ini yang kita tentukan tujuan dan matlamat visi kita,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|