Pendataan digital selesai masalah PATI di Sabah

Pendataan digital selesai masalah PATI di Sabah

Kota Kinabalu: Isu pendatang tanpa izin (PTI) yang membelenggu negeri ini sejak sekian lama akan diselesaikan secara tuntas melalui pendataan digital bagi mendapatkan jumlah sebenar PTI di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pendataan akan dibuat ke atas semua pendatang asing bagi memastikan mereka mempunyai dokumen yang sah untuk tinggal dan bekerja di negeri ini.

Hajiji menyerahkan geran Malaysian Incentive Community Empowerment (My I.C.E) kepada wakil pertubuhan sempena majlis penutupan Program “Kita Demi Negara” Zon Sabah di Dataran Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

Katanya, fasa seterusnya adalah memberi fokus kepada penyeragaman dokumen bagi memastikan semua yang berada di Sabah adalah didokumenkan secara teratur.

“Sekiranya kita dapati warga asing berkenaan adalah tergolong dalam pendatang tanpa izin, maka kita tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada.

Hajiji bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, jemputan dan orang ramai pada majlis penutupan Program “Kita Demi Negara” Zon Sabah di Dataran Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

“Tindakan ini sudah dibincangkan dengan teliti dan disokong oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program “Kita Demi Negara” Zon Sabah anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dataran Kompleks Sukan Likas, hari ini.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak dalam mempertingkatkan keselamatan di negeri ini kerana aspek itu amat penting terutama dengan kedudukan Sabah yang bersempadan dengan beberapa negara jiran.

Katanya, aspek kawalan sempadan merupakan perkara penting yang perlu diberi keutamaan memandangkan kebanyakan ancaman keselamatan di negeri Sabah datangnya dari luar negara.

“Langkah meletakkan pos-pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan-kawasan strategik di pendalaman Sabah adalah langkah yang tepat.

“Ia bukan saja bagi mengekang kemasukan ancaman pada masa kini, tetapi juga sebagai langkah proaktif untuk mengekang ancaman luar terutamanya apabila Indonesia berhasrat untuk memindahkan ibu negara ke Kalimantan,” katanya.

Menurutnya, usaha KDN melaksanakan inisiatif pengeluaran dokumen imigresen dan pendaftaran di pos kawalan Imigresen dengan pos kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan, sebagai projek rintis.

Katanya, ia akan memudahkan penduduk Pagalungan untuk mendapatkan perkhidmatan selain daripada Jabatan Imigresen Malaysia tapi juga daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

“Dengan adanya inisiatif seperti ini, penduduk setempat dapat memperolehi Pas Menyeberang Sempadan dengan lebih mudah”, tegasnya.

Sementara itu, Hajiji berkata, Sabah sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, mempunyai kawasan pesisir pantai yang panjang serta lebih daripada 40 pulau yang amat terdedah kepada pelbagai ancaman keselamatan.

Sehubungan itu katanya, beberapa perkara yang sering timbul mengenai keselamatan negeri Sabah antaranya adalah berkaitan PTI, pencerobohan bot nelayan asing, isu kawalan sempadan antarabangsa dan isu kewarganegaraan atau orang tanpa dokumen.

“Saya amat berharap isu-isu ini dapat ditangani dengan sebaiknya oleh Kerajaan Persekutuan. Pihak Kerajaan Negeri akan memberi sepenuh kerjasama demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah kekal terpelihara.

“Kerajaan Negeri menyokong segala usaha KDN terutama dalam aspek keselamatan dan ketenteraman bagi negeri Sabah.

“Ini termasuklah segala usaha penambahbaikan infrastruktur, aset agensi keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan tahap kebolehoperasian serta kesiapsiagaan pada tahap yang paling tinggi”, tegasnya.

Hajiji berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan bukan hanya terletak di bahu Kerajaan Persekutuan saja, tetapi memerlukan kerjasama yang padu dari semua pihak di peringkat persekutuan dan negeri.

Justeru itu, beliau menyeru rakyat Sabah bersama-sama berganding bahu bersama kerajaan melaporkan perkara-perkara yang menjadi ancaman dan menjejaskan keamanan dan kedaulatan negara.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya menyambut baik segala komitmen dan keprihatinan Hamzah dan KDN untuk menangani isu-isu keselamatan di negeri Sabah.

“Banyak yang telah dilaksanakan di negeri ini bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus kekal selamat dan tenteram”, katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|