Kekalkan tadbir urus yang baik – Hajiji

Kekalkan tadbir urus yang baik – Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan ketua jabatan dan agensi kerajaan supaya terus mengekalkan akauntabiliti serta tadbir urus yang baik dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka.

Katanya, ia bagi memastikan setiap projek pembangunan, khususnya di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dilaksanakan dengan baik.

“Ia termasuk memantau dan memastikan setiap peruntukan disalurkan kerajaan benar-benar dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasar di peringkat akar umbi,” katanya pada Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri sempena Harijadi Rasmi Ke-69 Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Bankuasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, malam tadi.

Hajiji berkata, perkara itu penting ditekankan sepanjang masa dalam usaha untuk meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

“Alhamdulillah, dengan kestabilan politik, kemakmuran sosial dan pemulihan ekonomi, rakyat negeri ini akan terus menikmati hasil pembangunan,” katanya.

Beliau juga berharap keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah akan sentiasa dilindungi menerusi perpaduan dan saling hormat-menghormati.

“Sehubungan itu, adalah penting untuk kita meningkatkan usaha dan tenaga untuk mengembangkan pembangunan negeri dan memperbaiki kehidupan rakyat.

“Saya meminta kerjasama semua anggota kepemimpinan negeri untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh ketelusan dan keikhlasan.

“Kita mesti komited sepenuhnya krpada mandat yang diberi oleh rakyat supaya agenda Hala Tuju SMJ dapat dicapai sepenuhnya,” katanya.

Hajiji juga memberi jaminan kerajaan komited mengukuhkan keselamatan bagi memastikan negeri dan rakyat sentiasa dilindungi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|