6 warga Filipina cuba seludup keluar minyak petrol ditahan

6 warga Filipina cuba seludup keluar minyak petrol ditahan

Semporna: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menggagalkan cubaan enam lelaki warga Filipina menyeludup keluar minyak petrol di perairan Pulau Danawan, di sini, kelmarin.

Keenam-enam suspek berusia 21 hingga 52 tahun mengunakan dua bot jongkong ditahan Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Viper 4, selepas dikesan mencurigakan bergerak dari kawasan perairan Semporna menuju ke sempadan antarabangsa, jam 8.14 malam.

Enam warga Filipina ditahan selepas cuba menyeludup keluar minyak petrol di perairan Pulau Danawan, Semporna.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, anggota Petugas Radar Coastal Surveillance Sistem (CSS) yang bertugas mengesan dua objek berkenaan.

Katanya, sebaik menerima maklumat awal dari pengesanan itu, pegawai bertugas dari Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) di Markas ATB 2 mengarahkan QRF bersama Viper 4 untuk membuat pintasan dan pemeriksaan terperinci di lokasi yang diarahkan.

Dua bot jongkong dengan tong berisi minyak petrol yang dirampas.

“Kedua-dua bot kemudian berjaya dipintas dan dua bot jongkong yang bergerak dari arah Tenggara Pulau Danawan dalam perjalanan menuju ke arah luar sempadan perairan Sabah.

“Kedua-dua bot jongkong itu kemudian ditunda ke Jeti Si Amil untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Enjin bot jongkong turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Katanya, bot pertama dinaiki empat lelaki manakala bot kedua dinaiki dua lelaki dan mereka warga Filipina, tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Dalam pemeriksaan itu juga merampas 4,450 liter petrol yang disimpan di kedua-dua bot jongkong berkenaan.

“Turut dirampas empat enjin Yamaha, dua bot jongkong dan jumlah keseluruhan barang rampasan termasuk minyak petrol iaitu RM99,122.50,” katanya.

Menurutnya, rampasan dan tangkapan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna atas kesalahan melanggar perintah berkurung dan melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Semua tangkapan kemudian dibawa ke Hospital Semporna untuk ujian saringan Covid-19 dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kejayaan pengesanan Radar CSS ATB 2 mematahkan cubaan seludup keluar petrol ini menunjukkan keupayaan pengesanan terhadap sebarang pergerakan Contact Of Interest (COI) di kawasan tanggungjawab sama ada keluar atau masuk di kawasan perbatasan negara.

“Pengawasan yang berterusan dalam semua keadaan atau situasi diperkasakan supaya masa, keadaan dan ramalan tidak dieksploitasikan oleh mana-mana elemen yang terlibat,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|