Kerajaan GRS-BN komited teruskan tuntutan hak Sabah dalam MA63

Kerajaan GRS-BN komited teruskan tuntutan hak Sabah dalam MA63

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri komited dalam meneruskan usaha menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan pihaknya akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan tuntutan-tuntutan Sabah dipenuhi dan dilaksanakan.

“Kita percaya bahawa isu berhubung hak dan kepentingan negeri yang melingkari hubungan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan selama ini akan dapat ditangani melalui perundingan dan muafakat atas semangat Keluarga Malaysia.

“Dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 8 September lalu, saya telah mengulangi bahawa Sabah akan tanpa henti terus menuntut 40 peratus pulangan daripada hasil bersih Sabah sendiri yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan, seperti yang ditetapkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Hajiji berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri 2022 di Padang Merdeka, hari ini.

Tambah beliau, Sabah telah melangkah sejauh ini sejak pengisytiharan bersejarah Malaysia pada 16 September 1963.

“Walaupun masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam konteks pembangunan di bawah semangat MA63, Sabah akan terus menuntut apa yang patut, supaya kita juga akan menikmati hasil pembangunan sebagai rakan kongsi kepada negara tercinta ini.

“Sesungguhnya, kita ingin melihat erti sebenar Keluarga Malaysia diterjemahkan menerusi konteks kesaksamaan dalam usaha membangunkan negara,” katanya lagi.

Turut hadir dalam memeriahkan majlis Yang di-Pertua Negeri Sabah,Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|