Kota Kinabalu: Dua pasukan dari Sabah memulakan Kejohanan Pesta Bola Merdeka Piala SMJ dengan langkah kanan apabila masing-masing memenangi perlawanan pembukaan mereka, hari ini.
Pasukan Sabah mengatasi Brunei dengan kemenangan tipis 1-0 manakala Sabah SMJ membenam Singapura juga dengan kedudukan 1-0.
Skuad Sabah terpaksa menunggu sehingga di penghujung masa tambahan untuk mencatat kemenangan selepas kesilapan dilakukan pertahanan Brunei yang tertanduk bola ke gawang sendiri.
Sabah SMJ juga tidak diberi laluan mudah oleh Singapura namun gol sulung mereka di separuh masa pertama sudah cukup untuk mereka memenangi perlawanan itu.
Terdahulu petang tadi, Indonesia berjaya mengatasi Selangor 3-2 dalam satu perlawanan sengit di Padang Sintetik Likas.
Dalam satu lagi perlawanan, Sarawak berjaya menumpaskan Johor dengan kedudukan 2-1 di masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar perlawanan.
-Deasoka