Hala Tuju SMJ Berada di Landasan Yang Betul – Hajiji

Hala Tuju SMJ Berada di Landasan Yang Betul – Hajiji

Kota Kinabalu: Agenda pembangunan negeri, khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara ini jelas apabila Sabah merekodkan pelaburan asing berjumlah RM9.9 bilion mengikut laporan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh Januari hingga September 2022.

Jelas beliau, ia sekali gus meletakkan Sabah sebagai penerima pelaburan asing ketiga terbesar di Malaysia.

“Justeru, kita akan terus menjadi negeri mesra pelabur dan akan mengurangkan semua halangan bagi memudahkan pelaburan.

“Kerajaan akan mengekalkan momentum ini bagi memastikan Sabah terus menjadi destinasi menarik bagi pelaburan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2022 di Padang Merdeka, malam tadi.

Katanya, bagi terus memacu Sabah, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ pada 29 Mac 2021 dan ia telah dimurnikan serta diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan Majlis Retrospektif Aspirasi pada 29 Mac 2022 bagi meninjau prestasi dan memperteguhkan aspirasi.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, masih banyak yang perlu dilakukan untuk membawa pembangunan dan kemajuan ke negeri ini.

“Kita akan terus gigih untuk merapatkan jurang perbezaan dengan keyakinan usaha yang diambil pasti akan membuahkan hasil.

“Kerajaan Persekutuan telah menerima segala keperluan Sabah melalui komitmennya di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk meningkatkan lagi pembangunan Sabah,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|