Pelancongan berasaskan konservasi hidupan liar dicadang di Telupid

Pelancongan berasaskan konservasi hidupan liar dicadang di Telupid

Telupid: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan meneliti pembangunan aktiviti pelancongan berasaskan konservasi hidupan liar di daerah ini.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin yakin ia bukan saja mampu menjadi tarikan kepada pelancong asing dan domestik ke daerah ini tetapi juga memberi pulangan ekonomi khususnya kepada komuniti setempat.

Jafry mendengar taklimat mengenai konflik manusia gajah di Telupid.

Bagaimanapun, katanya usaha untuk menyelesaikan konflik di antara manusia dan hidupan liar, khususnya gajah perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Bagi memastikan pelancongan berasaskan hidupan liar dapat direalisasikan, semua pihak perlu bekerjasama dalam menyelesaikan konflik manusia-gajah,” katanya pada sesi taklimat mitigasi konflik gajah, di sini, baru-baru ini.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk keperluan untuk memasang pagar elektrik sepanjang 1.7 kilometer bagi mengurangkan masalah gangguan gajah.

Berikutan kejadian gajah yang masuk ke kawasan kampung di sini baru-baru ini, Jabatan Hidupan Liar (JHL) dibantu Community Elephant Ranger Team (CERT), polis dan beberapa NGO lain bekerjasama dalam usaha translokasi gajah terbabit.

Sehingga kini, usaha yang dijalankan bagi mengurangkan masalah gangguan gajah di kawasan ini dilakukan menerusi pemasangan pagar elektrik sepanjang tiga kilometer di Kampung Bauto manakala 2.9 kilometer di Kampung Gambaron.

Atas usaha itu, bermula akhir 2019 sehingga awal tahun ini tiada kumpulan gajah melepasi kawasan yang telah dipasang dengan pagar elektrik.

Bagaimanapun, awal tahun ini didapati gajah melepasi kawasan pagar elektrik kerana tidak berfungsi selepas unit panel solar dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Justeru itu, Jafry memohon kerjasama semua pihak agar tidak sesuka hati mencuri harta benda yang boleh menyebabkan seluruh pagar elektrik gagal untuk berfungsi sehingga mendatangkan masalah lebih besar khususnya kepada masyarakat setempat apabila gajah terlepas daripada kawasan yang dipagar.

Beliau turut meminta agar kerajaan dapat menimbangkan untuk menyalurkan dana tahunan khas bagi menampung kos operasi dan menyelenggara pagar elektrik sedia ada.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|