Perkasa program dekati rakyat – Azizah

Perkasa program dekati rakyat – Azizah

Kota Kinabalu: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah akan lebih giat melaksanakan program mendekati rakyat selain melakukan proses ‘tambah nilai’ dalam memperkasakan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun menyeru agar kepimpinan Srikandi di peringkat bahagian dan cawangan memiliki semangat solidariti dan jati diri yang kental dalam mengukuhkan jentera parti.

“Inilah formula yang cukup penting untuk pasukan Bersatu Sabah dalam GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dengan perjuangan politik yang semakin mencabar ketika ini. Semua Ketua PDM (Pusat Daerah Mengundi) perlu menguatkan dan mantapkan lagi perancangan yang sedia ada.

“Kesiapsiagaan jentera Srikandi terutamanya Sri10 perlu lebih utuh dan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi PRU-15 pada bila-bila masa. Kita mesti lebih bersedia bukan sahaja dalam mendekati para pengundi tetapi juga mengetahui kawasan dengan sebaik-baiknya selain menguasai sistem Sri10 agar proses mengenal pasti pengundi dapat dilakukan dengan lebih baik dan sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perjumpaan khas dengan Ketua-ketua Srikandi cawangan/Pengerusi Jentera PDM Parlimen Beaufort di Dewan PPS Sembulan, semalam.

Hadir sama Pengerusi Zon 3, Datuk Surinam Sadikum (Sipitang), Setiausaha Zon 3, Fahzean Mohiddin (Papar) serta Ketua-ketua Srikandi cawangan yang juga Pengerusi Jentera PDM Parlimen Beaufort.

Azizah yang juga Ketua Srikandi BERSATU Beaufort turut meminta supaya sentiasa mengemas kini gerak kerja mendekati pengundi dalam sistem Sri10.

“Ketua-ketua PDM bukan sahaja mengenal pasti pengundi tetapi status pengundi sama ada putih, kelabu, mahupun hitam.

“Tetapi dalam masa yang sama untuk mengetahui status kedudukan pengundi sama ada berada dalam kawasan mahupun luar kawasan. Ini akan membantu jentera parti agar lebih bersedia berhadapan dengan PRU-15 dengan teratur dan lebih sistematik.

“Jangan kita lupa, pengundi muda yang berumur 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik juga harus kita dekati. Kita harus memikirkan taktik bagaimana hendak memikat hati pengundi-pengundi muda ini.

“Saya berharap semua ketua-ketua PDM dan ketua-ketua Srikandi cawangan, akan mengambil peranan dan merancang program ke arah menarik minat anak muda ini,” katanya.

-Deasoka

Share

Written by:

1,209 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!