Bumbung kedai runtuh di Taman Land Breeze

Bumbung kedai runtuh di Taman Land Breeze

Kota Kinabalu: Sebahagian bumbung bangunan kedai di Taman Land Breeze, Kepayan, di sini, runtuh dalam kejadian pagi tadi.

Kejadian jam 8.30 pagi itu, blok kedai dua tingkat itu mengalami keruntuhan kira-kira 20 peratus di bahagian belakang bangunan.

Keadaan bumbung di bahagian belakang bangunan kedai berkenaan yang runtuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 8.48 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba Kota Kinabalu terus dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Runtuhan blok bangunan kedai itu dianggarkan seluas 70 meter persegi dengan kemusnahan sekitar 20 peratus.

Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat di dalam runtuhan berkenaan dan pasukan bomba terus bertindak memasang sawar-sawar sebagai persediaan awal sekiranya berlaku runtuhan susulan,” katanya dalam kenyatan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba turut menasihati orang awam supaya tidak mendekati kawasan runtuhan berkenaan.

Pasukan bomba memasang sawar-sawar sebagai persediaan awal sekiranya berlaku runtuhan susulan.

Katanya, pasukan bomba seterusnya menjalankan pemantuan dan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.

“Operasi seterusnya ditamatkan pada jam 10.35 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|