Tongkang tenggelam, lima kru selamat

Tongkang tenggelam, lima kru selamat

Labuan: Lima pekerja sebuah tongkang (barge) yang membawa muatan air tawar berdepan detik mencemaskan selepas bot pengangkut berkenaan tenggelam di perairan Pulau Kuraman, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, kejadian dipercayai disebabkan cuaca buruk di lokasi berkenaan.

Bot tunda menyelamatkan lima kru tongkang yang tenggelam akibat cuaca buruk di periaran Pulau Kuraman, Labuan.

Katanya, sebaik Pusat Operasi Zon Maritim Labuan menerima aduan berkaitan kejadian berkenaan, sebuah bot peronda Maritim Malaysia terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot kargo yang sedang berusaha untuk menyelamatkan kru barge yang sudah tenggelam.

Lokasi tongkang yang tenggelam di perairan Pulau Kuraman, Labuan.

“Pasukan Maritim Malaysia terus membantu memindahkan semua mangsa yang berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun ke Bot Tunda YAKIN yang berada berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nudin berkata, semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak syarikat juga akan melakukan usaha pengapungan semula barge berkenaan.

Sementara itu, Nudin berkata, sebarang kejadian kecemasan dan kemalangan di laut mohon segera dilaporkan terus melalui talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|