UMNO Kalabakan sokong tambah kerusi Parlimen

UMNO Kalabakan sokong tambah kerusi Parlimen

Tawau: UMNO Kalabakan menyokong tuntutan untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak kepada 35 peratus seperti disuarakan pelbagai pihak sebelum ini.

Ketuanya, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata perkara itu wajar disokong kerana Sabah dan Sarawak adalah komposisi penting dalam pembentukan Malaysia.

Katanya, daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, sebanyak 166 kerusi adalah di Semenanjung, manakala hanya 56 kerusi di Sabah dan Sarawak.

“Sabah dan Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 10 peratus lagi iaitu 22 kerusi tambahan supaya kita dapat suara yang sama dalam Parlimen.

“Selaku wakil rakyat daripada Sabah, melihat pembahagian kuota 35 peratus itu perlu disetujui oleh semua pemimpin,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu sudah disuarakan oleh kebanyakan pemimpin Sabah dan Sarawak kerana melihat perlunya ada kesaksamaan dalam kepimpinan negara.

Katanya, beliau tidak melihat dalam konteks di kawasan Pantai Timur Sabah kerana secara keseluruhannya perlu dilihat kepada keseluruhan kawasan di negeri ini.

“Secara peribadi, saya berharap cadangan untuk menambah kuota kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak dapat dipersetujui serta diputuskan secepatnya,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarwak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menjelaskan cadangan itu telah diperakui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 2012.

Beliau juga mencadangkan supaya tuntutan itu dibuat secara terbuka dan keputusan diambil bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|