20 penumpang bas ekspres terselamat, kemalangan dengan lori

20 penumpang bas ekspres terselamat, kemalangan dengan lori

Kunak: Seramai 20 penumpang bas ekspres, menempuh detik cemas selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori 10 tan dalam kejadian di Dasar Lama, Kampung Lormalong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, semua penumpang dan pemandu bas bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 9.34 pagi.

Katanya, seramai enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan bas ekspres yang membawa penumpang dan sebuah lori yang membawa muatan batu dan besi.

“Pemeriksaan yang dijalankan pasukan bomba ditempat kejadian mendapati, semua mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.06 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|