KBSS cadang anjur kejohanan catur antarabangsa

KBSS cadang anjur kejohanan catur antarabangsa

Tawau: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) berhasrat menganjurkan pertandingan catur bertaraf antarabangsa sebagai acara tahunan bagi menarik lebih ramai peminat sukan itu seluruh negara.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata pihaknya komited mengembangkan sukan catur supaya lebih ramai bakat baharu dapat dicungkil di negeri ini.

Andi menyaksikan perlawanan catur anjuran MRSM di Tawau.

Katanya, KBSS bercadang untuk menarik lebih ramai peminat dan pemain sukan catur dari negara luar menyertai setiap penganjuran yang diadakan di Sabah.

“Kita mahukan melalui penyertaan daripada luar negara dapat menjadikan catur sebagai sukan yang diminati oleh orang ramai khususnya golongan belia.

“Melalui penganjuran catur bertaraf antarabangsa sebegini juga dapat meningkatkan kehadiran pelancong luar negara datang ke Sabah terutamanya peminat sukan ini,” katanya ketika merasmikan kejohanan catur MRSM Tun Mustapha, di sini hari ini.

Katanya, kejohanan yang dianjurkan MRSM itu sangat baik dan berjaya menarik minat peserta luar termasuk dari Singapura, Indonesia, Filipina dan Brunei.

“KBSS akan cuba berkolaborasi dengan pihak MRSM pada masa akan datang supaya penganjuran ini dapat dilaksanakan dalam skala yang lebih besar lagi.

“Menjadi tanggungjawab KBSS untuk memastikan setiap penganjuran sukan termasuk catur mendapat sokongan kerajaan supaya ia dapat dijalankan lebih berkesan dan mencapai objektifnya,” katanya.

Suryady berkata, KBSS mengucapkan tahniah kepada MRSM Tun Mustapha Tawau kerana berjaya menganjurkan pertandingan yang julung kali diadakan di Pantai Timur Sabah.

“Saya difahamkan seramai 210 penyertaan daripada dua kategori dan penganjuran ini telah diiktiraf oleh International Chess Federations’s (FIDE),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|