Pengunjung pelbagai kaum dan usia warnai sambutan Hari Malaysia 2022 di Sabah

Pengunjung pelbagai kaum dan usia warnai sambutan Hari Malaysia 2022 di Sabah

Kota Kinabalu: Kehadiran lebih 5,000 pengunjung daripada pelbagai kaum dan usia menjadi penyeri sambutan Hari Malaysia peringkat negeri 2022.

Kibaran Jalur Gemilang dan Bendera Sabah yang menghiasi dataran Padang Merdeka itu meningkatkan lagi semangat patriotisme yang dirasai, sejajar dengan tema sambutan pada kali ini, ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

Hadir menyempurnakan majlis penuh makna itu ialah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni bersama-sama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Juliah Salag.

Antara pengisian majlis yang penuh gemilang itu adalah upacara pemotongan kek Hari Malaysia 2022 dan upacara menerima Jalur Gemilang daripada Konvoi Kembara Merdeka yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sabah, Supian Musa kepada Tun Juhar.

Turut diadakan penyampaian Sijil Khas Penghargaan kepada atlet-atlet tempatan yang telah mewakili negeri ke pentas dunia.

Sambutan itu diteruskan lagi dengan persembahan khas “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dengan selingan daripada artis-artis tempatan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Kadzim M. Yahya serta barisan kempimpinan kerajaan negeri yang lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|