Bung Moktar ajak Keluarga Malaysia tingkatkan semangat patriotik

Bung Moktar ajak Keluarga Malaysia tingkatkan semangat patriotik

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengajak Keluarga Malaysia khususnya di negeri ini terus meningkatkan semangat patriotik dalam diri masing-masing.

Beliau berkata, 16 September adalah tarikh yang bersejarah untuk semua rakyat menghayati dan mengingati detik penyatuan bersama Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara yang berdaulat, makmur dan sejahtera.

“Pada hari ini, marilah kita terus tingkatkan semangat patriotik dalam diri kita, menghormati dan menghargai kepelbagaian keindahan etnik, agama dan budaya terdapat di negara kita dalam membina negara bangsa yang aman dan harmoni.

“Keindahan perpaduan kaum dan keharmonian masyarakat di Sabah walaupun rakyatnya dengan pelbagai latar belakang budaya dan pegangan agama yang hidup bersatu padu dan bersama-sama memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara mencerminkan konsep ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ yang merupakan tema sambutan Hari Malaysia pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2022, di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Sabah III, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Bung Moktar yang juga pengerusi penganjur majlis sambutan itu turut berkata, walaupun tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat Persekutuan diadakan di Melaka namun Sabah tidak terkecuali untuk meraikannya dengan meriah.

“Beberapa program dianjurkan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN), Jabatan Penerangan Sabah, Jabatan Penyiaran Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Arkib Negeri Sabah sejak awal bulan sehingga hari ini.

“Antara program yang diadakan termasuk majlis bacaan tahlil, solat hajat dan doa munajat di Masjid Negeri Sabah, Seminar Identiti Etnik Sabah Keluarga Malaysia, pertandingan TikTok Malaysia Challenge dan pameran dalam bentuk digital serta bercetak khas berkenaan ‘Kelahiran Hari Malaysia’,” katanya.

Tambah beliau lagi, dalam majlis yang diadakan itu juga turut dipersembahkan persembahan khas daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang mengambarkan elemen kesatuan yang bertemakan Perpaduan Malaysia, Keluarga Malaysia-Teguh Bersama.

“Persembahan khas ini mewakili empat komponen persembahan yang berbeza dan mempunyai elemen yang berlainan yang memaparkan Memori Borneo, keharmonian budaya, perspektif Malaysia dan Enchanting Malaysia-Keluarga Malaysia serta turut dihiburkan dengan artis tempatan yang telah mengharumkan nama Sabah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar sekali lagi mengajar rakyat bersama-sama menghayati dan menjiwai peristiwa Hari Malaysia dan meraikan sambutan itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|