Sukan wadah penting pembentukan Keluarga Malaysia harmoni – Noraini

Sukan wadah penting pembentukan Keluarga Malaysia harmoni – Noraini

Penampang: Selain menyihatkan tubuh badan dan minda, sukan juga menjadi wadah penting dalam usaha membentuk Keluarga Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.

Ahli Dewan Negara, Senator Noraini Idris berkata, ia mampu menyemarakkan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat, tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama.

Adrian Roy Siponong.

“Sukan juga adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Berdekad lamanya, sukan telah mengajar kita untuk menyelami erti perpaduan, berkerjasama dalam satu pasukan dan menanam rasa cinta kepada negara,” katanya dalam ucapan perasmian sempena Karnival Hari Sukan Anjuran PIBG SK St Theresa Inobong yang diadakan di Kompleks Stadium Sukan Penampang, hari ini.

Noraini yang juga Setiausaha Politik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, ia juga merupakan platform terbaik dalam mencungkil potensi terpendam dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya lagi, bakat-bakat tempatan itu dapat diasah berdasarkan kebolehan mereka untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita dapat melihat mereka yang berjaya membina karier dalam sukan. Contohnya, atlet-atlet negara atau atlet luar negara yang berjaya dalam bidang sukan masing-masing.

“Mereka telah membuktikan bahawa sukan adalah kerjaya yang mampu menjamin masa depan dan akhirnya menyumbang kepada ekonomi diri, keluarga dan negara,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SK St Theresa Inobong Penampang, Adrian Roy Siponong berkata, penganjuran karnival itu menjadi bukti kerjasama erat di antara pihak sekolah bersama persatuan ibu bapa dalam menjalankan aktiviti demi kemajuan prestasi luar darjah murid-murid.

Tambah beliau, ini merupakan julung kali karnival sukan yang dikendalikan sepenuhnya oleh PIBG diadakan di negeri ini.

“Kita patut pujilah, ibu bapa ataupun warga SK St Theresa Inobong ini cukup banyak membantu, sama ada dari segi penganjuran aktiviti sukan dan juga kempen mengumpul dana.

“Saya percaya selepas ini, PIBG di sekolah-sekolah lain akan turut mengikut jejak ini pada masa yang akan datang,” katanya.

Karnival sukan itu bermula seawal jam 7 pagi dengan pelbagai pengisian menarik, antaranya senamrobik, acara padang dan juga cabutan bertuah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|