SAREX tingkatkan tahap kesiapsiagaan carilamat di laut

SAREX tingkatkan tahap kesiapsiagaan carilamat di laut

Sandakan: Sebagai agensi yang menerajui fungsi mencari dan menyelamat maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan menganjurkan eksesais carilamat ‘Search and Rescue Exercise (SAREX) Tier 2 – Top.

Maritim Malaysia Zon Sandakan dalam kenyataan hari ini, memaklumkan SAREX Tier 2-Table Top yang diadakan pada 13 dan 14 September lalu di Pejabat Zon Maritim Sandakan membabitkan peserta seramai 100 orang daripada pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan.

Pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi yang mengikut SAREX Tier 2 – Table Top di Pejabat Zon Maritim Sandakan.

“Antaranya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Selain itu turut terbabit Jabatan Laut Malaysia; Jabatan Perikanan Malaysia; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM); Jabatan Alam Sekitar; Jabatan Pelabuan dan Dermaga Sabah; Taman-Taman Sabah; Majlis Perbandaraan Sandakan; Hospital Duchess Of Kent Sandakan; Sabah Port Sdn Bhd,” katanya.

Menurutnya, SAREX adalah latihan berjadual yang membabitkan kerjasama antara agensi dengan objektif utamanya iaitu memperkasakan koordinasi diantara agensi dalam melaksanakan misi mencari dan menyelamat di laut.

Perbincangan semua agensi yang terbabit dalam SAREX Tier 2 – Table Top di Pejabat Zon Maritim Sandakan.

“Latihan simulasi SAREX tahap 2 ini dimulakan dengan kejadian sebuah kapal tangki yang membawa cecair berharga dilaporkan hilang di perairan Sandakan yang kemudiannya bertukar menjadi kejadian rompakan.

“Berdasarkan situasi itu, Maritim Malaysia dan agensi yang terbabit diuji kepakaran dan kecekapan dalam mengendalikan operasi sebenar disamping kefahaman terhadap prosedur-prosedur carilamat,” katanya.

Disamping itu, Maritim Malaysia turut memaklumkan SAREX kali ini juga amat bertepatan untuk semua agensi yang terlibat membuat persiapan bagi menghadapi Fasa Peralihan Monsun yang berkemungkinan menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu yang boleh mengakibatkan insiden tidak diingini berlaku di laut.

“Latihan-latihan sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa supaya kecekapan dan tindak balas daripada semua agensi carilamat sentiasa pada tahap yang tertinggi,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|