Kenal pasti lokasi berpotensi dijadikan ‘Arts Street’ – Hajiji

Kenal pasti lokasi berpotensi dijadikan ‘Arts Street’ – Hajiji

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diminta untuk mengenal pasti lokasi bersesuaian dijadikan ‘Arts Street’ sebagai tarikan pelancongan dan pada masa yang sama membantu meningkatkan aktivit seni budaya di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, banyak lokasi bersejarah yang sesuai untuk dijadikan sebagai tempat mengadakan aktiviti seumpama dan membantu artis tempatan.

Joniston (kanan) ketika menghadiri “Rhythms of Kinabalu 2022: Coming Back Stronger”, di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu.

“Saya berharap agar DBKK akan mengambil tindakan segera kerana ia bakal menjadi tarikan pelancong yang terbaru di negeri ini,” katanya ketika merasmikan “Rhythms of Kinabalu 2022: Coming Back Stronger” di Lintasan Deasoka, Gaya Street, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata, adalah penting bagi flora dan fauna serta kepelbagaian budaya tempatan dimaksimumkan sebagai cara untuk memacu industri pelancongan yang mampan dan berdaya tahan, yang juga merupakan salah satu teras utama pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mahukan kepelbagaian warisan budaya untuk terus diperkasakan agar tidak terpinggir daripada arus pemodenan dan teknologi masa kini.

“Dalam erti kata lain, kita harus memastikan budaya dan seni dipelihara dan dibangunkan sejajar dengan sektor lain,” katanya.

“Kita tidak mahu melihat budaya dan seni kita terhakis dengan pemodenan. Lebih membimbangkan ialah kita akan kehilangan warisan budaya kita kerana tidak ada pemeliharaan atau kesinambungan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Music Rights Sabah Berhad (MRS), sebuah badan pelesenan muzik yang diiktiraf oleh kerajaan, telah dibentuk pada Januari tahun ini bertujuan untuk menjaga hak dan kebajikan artis tempatan Sabah.

Katanya, beliau sangat gembira untuk melihat kepelbagaian warna dan persembahan sepanjang majlis ini berlangsung, yang melibatkan kira-kira 200 artis daripada pelbagai genre.

Hajiji berkata, beliau percaya masih banyak yang belum diteroka, sama ada tarian mahupun musik daripada lebih 33 etnik di negeri ini.

“Kerajaan Negeri berharap agar program ini dapat membantu dalam mempromosikan kepelbagaian seni dan warisan budaya di negeri ini, sekali gus meneroka lebih banyak budaya daripada pelbagai etnik untuk dipamerkan kepada dunia.

“Tarian seperti Limbai, Sumazau dan Magunatip adalah antara yang sudah dikenali umum, tapi kemungkinan masih ada yang perlu didedahkan agar ia tidak hilang ditelan zaman” katanya.

Beliau turut memuji Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan kerana berjaya menganjurkan program melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kebangsaan (JKKN) dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|