28 nelayan DUN Sulaman terima bantuan peralatan

28 nelayan DUN Sulaman terima bantuan peralatan

Tuaran: Seramai 28 nelayan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman menerima bantuan peralatan aktiviti perikanan yang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 15 nelayan menerima bantuan peralatan di bawah Peruntukan Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, manakala 13 lagi menerima bantuan di bawah Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Fasa 1, 2022.

Hajiji menyerahkan bantuan peralatan nelayan kepada penerima dari kawasan DUN Sulaman di Kampung Serusup, Tuaran.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata, kerajaan begeri berusaha mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini dengan memberikan pelbagai bantuan kepada golongan sasar.

Katanya, kerajaan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) merancang pelbagai program bantuan khusus untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Inilah perjuangan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) yang fokus membangun negeri ini dan juga kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau juga mengingatkan penerima bantuan agar menggunakan bantuan peralatan nelayan itu sebaik mungkin bagi meningkatkan sosio ekonomi dan pendapatan keluarga.

“Dengan pelbagai bantuan yang diberikan oleh kerajaan, rakyat sendiri juga perlu berusaha membantu keluarga mereka agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS meminta rakyat negeri ini tanpa mengira bangsa dan kepercayaan agar menyokong calon yang diketengahkan oleh GRS-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Siapa juga calon yang telah dipilih oleh pucuk pimpinan parti GRS dan BN, kita mesti sokong dan pastikan calon-calon kita menang di seluruh Sabah,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Abd Kassim Razali; Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Johari Saiman dan Pegawai Daerah Tuaran, Syhrin Samsir.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|