94 PATI warga Vietnam, Indonesia dihantar pulang

94 PATI warga Vietnam, Indonesia dihantar pulang

Sandakan: Seramai 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Vietnam dan Indonesia dihantar pulang ke negara asal dalam satu Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 16 dan 17 dengan menggunakan pengangkutan laut dan udara.

Pengarah Imigresen Malaysia Sabah, SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program pemindahan PATI untuk siri 16 dijalankan pada 27 Oktober 2022 membabitkan warganegara Vietnam sahaja berjumlah 17 orang.

PATI warganegara Vietnam dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Sandakan ke KLIA2.

“Pecahan iaitu 16 lelaki dewasa dan satu kanak-kanak lelaki. Semua tahanan warganegara Vietnam ini adalah yang dipindahkan dari Depot Imigresen Sandakan dan dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Sandakan – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

“Manakala bagi siri 17 pada 28 Oktober 2022, seramai 77 PATI warga Indonesia dihantar pulang menggunakan pengangkutan laut, dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia.

PATI warganegara Indonesia dihantar pulang dengan menggunakan pengangkutan laut.

“Pecahan tahanan bagi warganegara Indonesia yang dipindahkan balik ke negara asal secara terus ke Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, sejumlah 71 lelaki dan enam wanita,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pada program pemindahan PATI kali ini tiada tahanan PATI kanak-kanak.

“Semua PATI warganegara Indonesia ini adalah terdiri daripada tahanan PATI dari Depot Imigresen Tawau sahaja.

“Proses pemindahan tahanan dengan iring kawal masuk sehingga ke dalam Vessel Malindo Express 2 nombor pendaftaran YB6281,” katanya.

PATI warganegara Indonesia dihantar pulang ke negara asal dari Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

Menurutnya, semua PATI yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen adalah PATI yang melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, hukuman yang dikenakan ke atas semua PATI ini adalah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga tindakan terakhir iaitu pemindahan keluar dari negara.

“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan agar memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Sabah, Malaysia) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.

“Semua agensi penguatkuasaan di negeri ini akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Tahanan Imigresen di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|