Karnival Baurung-Urung khazanah budaya, tarikan baharu pelancong

Karnival Baurung-Urung khazanah budaya, tarikan baharu pelancong

Kota Kinabalu: Karnival Baurung-Urung antara khazanah budaya yang boleh diketengahkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan memiliki pelbagai khazanah budaya dan adat resam, masyarakat Brunei boleh menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam sektor pelancongan melalui seni dan budaya yang dimiliki.

Katanya, ia termasuklah seperti seni gambus, seni tari serta pelbagai produk makanan tradisional yang boleh diketengahkan.

“Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penganjuran karnival seumpama ini, yang perlu dipromosikan sebagai salah satu produk tarikan pelancong ke negeri ini. Ia merupakan khazanah yang amat berharga yang tidak ternilai harganya.

“Khazanah ini juga yang akan diwariskan kepada generasi yang berikutnya agar tidak pupus ditelan zaman, di samping menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan yang berteraskan kepelbagaian kebudayaan.

“Justeru, saya mengucapkan syabas kepada seluruh pimpinan Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) dan masyarakat Brunei, atas kejayaan menganjurkan karnival buat julung kalinya ini,” katanya ketika merasmikan Karnival Baurung-Urung di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata, menuju ke arah merancakkan semula sektor pelancongan negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19, usaha berterusan perlu dilakukan.

“Sektor pelancongan memainkan peranan amat penting dalam membantu membangunkan ekonomi sesebuah negeri, termasuk di negeri ini.

“Justeru, saya mahu semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam sektor pelancongan di negeri ini agar terus memperkasakan budaya bangsa yang kita miliki ini dengan sebaik-baiknya.

“Karnival seumpama ini antara yang perlu dipromosikan sebagai salah satu produk tarikan pelancong ke negeri ini.

“Sebagai sebuah negeri dengan lebih 30 etnik yang kaya budaya dan adat resam yang pelbagai, ianya menjadi satu kelebihan kepada Sabah untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri di Bawah Bayu ini.

“Sabah merupakan salah sebuah negeri yang mempunyai keunikan dan kepelbagaian budaya selain keindahan flora serta fauna.

“Saya yakin usaha yang agresif dengan bantuan semua pihak, sektor pelancongan kita akan terus berkembang maju,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada PMBS yang telah mengambil langkah ke hadapan melalui penubuhan Yayasan Dangsanak Sabah (YDS).

“Saya berharap dengan adanya yayasan ini, pelbagai program sama ada ekonomi, kebudayaan dan kebajikan masyarakat Brunei dapat terus terpelihara serta dibantu dengan sebaiknya.

“Saya juga menyaksikan banyak penglibatan dari kalangan masyarakat Brunei yang menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.

“Terdapat ramai anak-anak masyarakat Brunei yang telah berjaya dalam pelbagai bidang termasuk pimpinan tertinggi negeri, perkhidmatan awam negeri atau Persekutuan, bidang perubatan, pendidikan dan perniagaan.

“Penubuhan Yayasan ini sudah pasti boleh membantu masyarakat Brunei untuk lebih maju seiring dengan masyarakat lain di negeri ini,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|