Kes demam denggi di Sabah meningkat

Kes demam denggi di Sabah meningkat

Kota Kinabalu: Sebanyak 4,812 kes demam denggi dilaporkan di Sabah setakat minggu ke-42 tahun ini, berbanding hanya 1,336 kes dicatatkan pada tempoh masa yang sama tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong berkata, terdapat lima kes kematian direkodkan, iaitu tiga di Sandakan dan masing-masing satu di Papar dan Tawau.

.Datuk Safar Untong

“Sehingga 22 Oktober lalu, lima daerah yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi adalah Sandakan (1,394 kes), Kota Kinabalu (1,155 kes), Tawau (387 kes), Lahad Datu (349 kes) dan Putatan (344 kes).

“Bagi lokaliti wabak aktif pula, sejumlah 74 lokaliti wabak aktif (11 wabak hotspot, 11 wabak tidak terkawal dan 52 wabak terkawal) di seluruh negeri yang melibatkan tujuh daerah iaitu Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Kudat, Penampang dan Pitas,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada 27 Oktober lalu, katanya, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Negeri Sabah telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan situasi kes demam denggi di negeri ini yang menunjukkan peningkatan sangat membimbangkan.

Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa mengambil tindakan kawalan pencegahan demam denggi dengan membersihkan kawasan luar dan dalam rumah, menyembur aerosol, kerap menggunakan repellant (bahan yang mencegah gigitan nyamuk) sekiranya keluar rumah pada waktu nyamuk aktif dan menyental bekas tadahan air seminggu sekali.

“Individu yang mengalami gejala penyakit demam denggi disarankan agar mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital terdekat.

“Ia bagi mengurangkan risiko komplikasi demam denggi berdarah terutama bagi golongan kanak-kanak serta golongan yang mempunyai penyakit komorbid,” katanya lagi.

Tambah Safar, Kerajaan Negeri akan terus memantau isu-isu berkaitan dan mengambil langkah sewajarnya bersama jabatan dan agensi terlibat bagi memastikan risiko wabak demam denggi dapat ditangani.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|