Yayasan Dangsanak Sabah bantu perkasa sosio ekonomi masyarakat Brunei

Yayasan Dangsanak Sabah bantu perkasa sosio ekonomi masyarakat Brunei

Kota Kinabalu: Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) telah melancarkan Yayasan Dangsanak Sabah (YDS) sebagai wadah untuk meningkatkan dan membangunkan tahap sosio ekonomi masyarakat Brunei di negeri ini.

Presidennya, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, bantuan yang disalurkan merangkumi aspek pendidikan, kebajikan, dan penyelidikan.

Menurut beliau, pelancaran yayasan itu bakal berfungsi sebagai penambahan kepada saluran-saluran bantuan yang sedia ada.

“Kita tidak dapat menyaingi dari sudut kerajaan mahupun kebajikan sebab seperti yang saya sebut tadi, walaupun ada yayasan ini, kita tidak mempunyai dana besar. Ia hanyalah inisiatif sebagai tambahan bantuan kepada anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Karnival Baurung-Urung di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Arifin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, pihaknya akan mengenal pasti dan memberi keutamaan kepada individu mahupun persatuan yang memerlukan.

Katanya, YDS ini turut dibuka kepada mana-mana pihak yang ingin memberikan bantuan dari segi dana sejak dua hari lalu.

“Kita telah menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat dan anak-anak Brunei yang berniaga dan mempunyai kelebihan untuk menyumbang kepada yayasan ini.

“Setakat ini, kita telah berjaya mengumpul dana sekitar RM130 ribu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Karnival Baurung-Urung merupakan penjenamaan semula daripada Pesta Gambus yang diadakan sebelum ini.

Jelasnya, perayaan yang cukup sinonim dengan masyarakat Brunei itu merujuk kepada aktiviti yang melibatkan berkumpul, berjemaah, bergotong royong dan beramai-ramai dalam muafakat.

Turut diadakan dalam majlis yang sama adalah pelancaran sebuah buku mengenai tradisi, seni dan budaya masyarakat Brunei yang diusahakan oleh pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Ia boleh dijadikan sebagai sumber rujukan oleh para penyelidik yang akan membuat kajian berhubung dengan masyarakat Brunei dari sudut tradisi, budaya dan adat.

“InsyaAllah, kita akan menerbitkan buku seperti ini pada setiap tahun dengan jumlah yang lebih besar,” katanya lagi.

Hadir dalam majlis itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|