PRU15: Peter umum tanding Parlimen Tenom

PRU15: Peter umum tanding Parlimen Tenom

Tenom: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony, hari ini mengumumkan bertanding di Parlimen Tenom Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dimaklumkan beliau sendiri ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Orow Pasimpungan, Pemimpin Bersama Masyarakat PDM Saga, di sini, hari ini.

Peter ketika ditemui media selepas mengumumkan bertanding di Parlimen Tenom pada Majlis Orow Pasimpungan, Pemimpin Bersama Masyarakat, Pusat Daerah Mengundi (PDM), Saga, Tenom.

Peter berkata, PKDM yang membuat penampilan sulung pada pilihan raya kali ini turut mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Keningau dan Pensiangan.

Bagaimanapun, Peter setakat ini belum mahu mendedahkan calon di dua kawasan berkenaan sehingga pengumumannya pada minggu depan.

Peter bersama masyarakat Tenom di Majlis Orow Pasimpungan, Pemimpin Bersama Masyarakat, Pusat Daerah Mengundi (PDM), Saga, Tenom.

“Ya Tenom, saya telah umumkan bahawa saya akan bertanding, itu sah. Saya akan bertanding buat pertama kalinya untuk Parlimen.

“Hari ini juga, kita umumkan bertanding di Parlimen Pensiangan dan Keningau,” katanya.

Menurutnya, beliau akan namakan calon di dua parlimen Pensiangan dan Keningau pada 2 atau 3 November depan.

Peter menerima borang keahlian menyertai PKDM pada majlis berkenaan.

“Saya akan namakan (calon) pada 2 atau 3 November, tetapi memang sudah ada dalam buah fikiran saya cuma kini di peringkat akhir penapisan sebelum kita umumkan.

“Saya percaya untuk kawasan-kawasan yang telah saya umum itu, di peringkat jentera kita persiapkan sepenuhnya. Selepas sahaja penamaan calon pada 5 November, maka semua jentera akan melakukan tugas masing-masing di peringkat parti,” katanya.

Peter berkata, PKDM akan bergerak solo dalam PRU15 ini dan tiada kaitan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun mesra dengan gabungan berkenaan.

“Kita (PKDM) bergerak solo tanpa ada kaitan dengan mana-mana parti atau gabungan.

“Semalam kenyataan daripada GRS telah menjelaskan bahawa PKDM ini tidak terbabit dengan mana-mana parti sama ada GRS ataupun UMNO,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|