MAQIS Labuan rampas produk hasilan ikan tiada permit

MAQIS Labuan rampas produk hasilan ikan tiada permit

Labuan: Tindakan sebuah syarikat tempatan membawa masuk produk hasilan ikan ‘Hokkaido Dried Scallops’ dari Hong Kong tanpa permit membawa padah apabila konsainan yang dibawa itu ditahan di pintu masuk Lapangan Terbang Labuan, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Labuan, Nazrul Azman Mat Rahim berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap konsainan itu yang dibawa masuk melalui kargo lapangan terbang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati konsainan yang dibawa itu tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh MAQIS.

“Secara keseluruhannyaz MAQIS menahan 110.23 kg produk hasilan ikan yang dianggarkan bernilai RM62,057.43.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nazrul berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pinty masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian yang masuk ke negara ini.

“Hal ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang dimport ke negara ini bebas daripada ancaman perosak dan penyakit.

“Selain ianya bebas daripada bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|