Kawasan perladangan di Kunak berpotensi dijadikan tarikan pelancongan

Kawasan perladangan di Kunak berpotensi dijadikan tarikan pelancongan

Kunak: Sebuah kawasan perladangan di daerah ini berpotensi besar untuk dijadikan sebagai sebuah tarikan pelancongan menarik.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, ia menawarkan tarikan yang belum diterokai dan dilihat mampu meningkatkan potensi pelancongan di daerah ini.

Lawatan ke Muzium Kelapa Sawit di ladang Sime Darby, Kunak yang menjadi lokasi penanaman kelapa sawit pertama di Borneo.

“Saya melihat potensi di kawasan Sime Darby ini sangat besar dan tarikan sedia ada ini akan membawa manfaat kepada masyarakat di Kunak.

“Walaupun perniagaan utama Sime Darby adalah perladangan, kita percaya ia akan menjadi faedah terbaik syarikat untuk mempertimbangkan penerokaan peluang untuk bekerja dengan komuniti tempatan dan mempromosikan pelancongan di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Lawatan ke lokasi Terowong Jepun di Ladang Mostyn, Sime Darby di Kunak.

Beliau diiringi Tiimbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Anil Jeet Singh Sandhu dan pasukan produk daripada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah melawat ladang itu bagi menilai beberapa bakal lokasi tarikan, semalam.

Antaranya ialah Tasik Impian, Bekas Terowong Jepun, Muzium Kelapa Sawit yang menempatkan antara kelapa sawit tertua, dan Air Panas Sungang, semua yang tidak dibuka kepada orang awam.

Lawatan ke Air Panas Sangang di kawasan ladang milik Sime Darby di Kunak.

Sehubungan itu, Joniston yang juga Pengerusi STB berkata, pihaknya bersedia untuk membantu sebarang kolaborasi yang akan memanfaatkan masyarakat dan ekonomi mereka, serta industri pelancongan negeri.

Turut hadir dalam lawatan itu, Presiden Persekutuan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS), Walter Kandayon; Pengerusi Persatuan Pelancongan Kunak, Mohammad Hatta Arabi; Penolong Pegawai Daerah Kunak, Rubert Salimon; dan Pengurus Kanan Sime Darby (Mostyn Plantation), Mohammad Syafrie.

Sementara itu, Mohammad Hatta berkata pertanian merupakan sektor utama di Kunak, yang meliputi kawasan seluas 1,134 kilometer persegi, dengan pelancongan menyumbang hanya satu peratus daripada ekonomi.

Menurutnya, daerah ini kaya dengan khazanah menarik, dan persatuannya komited dalam usaha untuk meningkatkan pelancongan luar bandar dalam apa jua cara.

“Ini termasuk kolaborasi bersama syarikat komersial mahupun syarikat berkaitan kerajaan yang mempunyai kawasan yang di mempunyai potensi pelancongan,” katanya.

Setakat ini, lokasi tarikan utama Kunak adalah Gua Madai, Blue Ring Reef, dan air terjun Madai.

Tambahan itu, Persatuan Pelancongan Kunak, Majlis Tindakan Pelancongan Kunak dan Jabatan Perhutanan Kunak turut mendesak untuk menaik taraf air terjun Madai Sejadi dan membangunkan pelancongan berasaskan komuniti di sekitar kawasan Gua Madai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|