372 mangsa bencana dipindahkan di seluruh Sabah

372 mangsa bencana dipindahkan di seluruh Sabah

Kota Kinabalu: Seramai 372 mangsa bencana ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah, setakat pagi ini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah setakat jam 8 pagi tadi, 250 orang daripada jumlah itu mangsa kebakaran di Kudat yang membabitkan 52 keluarga.

Mangsa banjir dari Membakut dipindahkan di PPS DSP Mohd Dun Banir, Beaufort.

Mereka adalah mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Kapor yang dilapor memusnahkan kira-kira 40 rumah penduduk, awal pagi kelmarin.

Semua mangsa kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Rumah Rehat Kudat.

Situasi banjir di sekitar Membakut, semalam.

Sementara itu, seramai 122 mangsa lagi terdiri daripada penduduk yang dipindahkan akibat banjir di tiga daerah iaitu Putatan, Papar dan Beaufort.

Daerah Putatan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi yang masih berada di PPS setakat ini dengan 61 orang daripada 11 keluarga.

Mereka dipindahkan di PPS Dewan Sri Keramat, Putatan sejak Isnin lalu berikutan banjir kilat yang melanda beberapa kampung sekitar daerah itu.

Di Beaufort, seramai 51 mangsa daripada 19 keluarga masih berada di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir membabitkan penduduk terjejas banjir yang dipindahkan dari beberapa kampung di daerah kecil Membakut.

Selebihnya, seramai 10 mangsa banjir daripada dua keluarga di daerah Papar masih berada di PPS Kompleks Latihan dan Pemulihan Orang Kurang Upaya (OKU) setakat pagi ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|