PRU-15: BERSATU Sabah boleh tanding atas tiket GRS – Muhyiddin

PRU-15: BERSATU Sabah boleh tanding atas tiket GRS – Muhyiddin

Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerima keputusan BERSATU Sabah untuk bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tiada masalah berhubung perkara itu sejajar dengan persefahaman yang dicapai dalam kalangan parti komponen GRS.

“Sayapun telah minta supaya nama-nama bakal calon dari BERSATU terutamanya dikemukakan kepada saya dan ianya akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Tapi calon kita akan bertanding atas nama GRS, mereka pakai logo GRS tapi kemenangan mereka itu adalah dengan BERSATU dan sebahagiannya adalah dari Perikatan Nasional (PN).

“Itu secara persefahaman yang telah kita capai, jadi tiada isu dan masalah kepada soal itu,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan pemimpin BERSATU Sabah di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata Hajiji juga sudah menjelaskan kepadanya mengenai soal kerjasama GRS dengan Barisan Nasional (BN) Sabah pada PRU-15.

“Hajiji sudah menjelaskan mengenai situasi agak luar biasa sedikit di Sabah, sebab itu terbentuk kerajaan negeri kerana adanya kerjasama dan persefahaman di antara parti walaupun di peringkat persekutuan tidak sehaluan tetapi di sini keadaan agak luar biasa ataupun keadaan istimewa .

“Kerajaan negeri boleh kerja bersama dan kita terima polisi Hajiji sebagai ketua. Soal pokoknya ini pilihan raya Pusat atau Parlimen.

“Jadi saya serah kepada kebijaksanaan Hajiji dan rakan GRS bagaimana bentuk pembahagian kerusi dan sebagainya kerana saya faham situasi agak berbeza di sini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya penentuan jumlah kerusi PN di peringkat persekutuan pada keputusan PRU-15 nanti akan dikira berdasarkan parti dalam gabungan itu walaupun bertanding dengan lambang GRS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|