Muhyiddin beri penjelasan tindakan PN

Muhyiddin beri penjelasan tindakan PN

Kota Kinabalu: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyalahkan beliau dan 12 menteri PN sebagai punca diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekarang, sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, Ismail Sabri tidak sepatutnya menyalahkan sesiapa berhubung perkara itu, sebaliknya perlu bertanggungjawab terhadap apa yang sudah dilakukan.

“Ia sangat tidak bertanggungjawab Perdana Menteri salahkan saya dan ahli Kabinet mengenai apa yang berlaku sekarang yang menyebabkan kemarahan rakyat kenapa PRU-15 diadakan sekarang, ketika banjir.

“Mereka tidak patut salahkan sesiapa, mereka yang bertanggungjawab. Kita tidak pertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang perkenan PRU atas budi bicara baginda kerana ia mengikut perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, di sini, malam ini.

Muhyiddin berkata pihaknya meminta supaya seboleh mungkin tidak diadakan pilihan raya ketika seluruh negara berdepan dengan ancaman banjir.

“Siapa di sini suka pilihan raya masa banjir, angkat tangan..tiada kan, kita tidak mahu. Sebab itu, kita sebagai parti menyuarakan pandangan rakyat.

“Wakil saya dalam Kabinet berhak pasal tiada perbincangan secara mendalam dan diputuskan dalam jemaah menteri untuk bubarkan Parlimen. Jadi di mana mereka pergi?

“Saya juga sebenarnya ada perjanjian dengan Ismail Sabri masa jadi Perdana Menteri, antara kandungannya kalau nak bubar Parlimen sewajarnya bincanglah dengan pemimpin PN.

“Kenapa kita minta ini? Kerana kita komponen terbesar dalam kerajaan. Jadi, adilkah ini? Ia tidak adil. Sekarang bila semua orang serang dia, dia kata ini Muhyiddin punya salah, menteri ini punya salah,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata apa yang dilakukan PN adalah untuk melaksanakan tanggungjawab parti terhadap kebajikan rakyat dan keprihatinan terhadap rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|