Penunggang motosikal maut bertembung dengan Perodua Kancil

Penunggang motosikal maut bertembung dengan Perodua Kancil

Papar: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan, di kilometer 31, Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, hasil siasatan awal, mangsa dipercayai bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kampung Limauan, Kinarut.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu lelaki warga emas berusia 63 tahun dikatakan membuat pusingan U secara tergesa-gesa dan terus memasuki laluan motosikal mangsa.

“Mangsa gagal mengelak dan terus merempuh Perodua Kancil berkenaan sehingga menyebabkannya kecederaan serius di kepala dan badan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Papar yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kamaruddin berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan proses bedah siasat.

Manakala katanya, pemandu Perodua Kancil terbabit tidak berada di lokasi kejadian selepas dibawa oleh anaknya untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta berhampiran.

Katanya, atas nasihat doktor yang merawtnya, warga emas terbabit kemudiannya dirujuk ke Wad Kecemasan Hospital Papar selepas mengalami tekanan darah tinggi dan lemah jantung.

“Setakat ini, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|