Jangan terlalu bimbang amaran cuaca buruk Amerika Syarikat

Jangan terlalu bimbang amaran cuaca buruk Amerika Syarikat

Kota Kinabalu: Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu bimbang dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan laman web rasmi Kedutaan Amerika Syarikat kepada rakyatnya di negara ini.

Ia berikutan kedatangan Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 yang dijangka bermula pada pertengahan November 2022 dan berakhir pada Mac 2023.

Menerusi satu kenyataan hari ini, MET Malaysia mengingatkan orang awam supaya bersiap sedia sewajarnya menghadapi MTL dan tidak merasa terlalu bimbang dengan amaran dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat.

“MET Malaysia melakukan pemantauan cuaca secara berterusan 24 jam sehari sepanjang tahun dan amaran cuaca dikeluarkan sekiranya dijangka berlaku Ribut Petir, Hujan Lebat Berterusan, Angin Kencang dan Laut Bergelora serta Siklon Tropika.

“Amaran cuaca tersebut akan dihebahkan melalui pelbagai saluran kepada orang awam termasuk warga Amerika Syarikat di Malaysia.

“Sehubungan itu, orang awam disarankan mengikut arahan Agensi-Agensi Pengurusan Bencana Negara semasa kejadian banjir dan diminta untuk lebih peka dengan sebarang perubahan cuaca,” kata kenyataan itu.

MET Malaysia berkata, maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia serta Hotline di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Minggu lalu, Amerika Syarikat mengeluarkan amaran cuaca buruk kepada rakyat negara itu yang berada di Malaysia sebagai persediaan berdepan hujan lebat, ribut dan banjir bermula bulan depan.

Berdasarkan amaran yang dikeluarkan di laman web Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Selasa lalu, rakyat negara itu diingatkan untuk bersiap sedia berdepan Musim Siklon Tropika di Laut Pasifik Selatan bermula 1 November 2022 hingga 30 April tahun depan.

Amaran itu menyatakan Malaysia berisiko dilanda hujan ribut berpanjangan dan bencana banjir sepanjang Musim Siklon Tropika yang boleh menyebabkan bekalan utiliti terputus selama beberapa hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|