Geran khas tahunan RM100,000 kepada Persatuan Pesara Kerajaan Sabah – Hajiji

Geran khas tahunan RM100,000 kepada Persatuan Pesara Kerajaan Sabah – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menumumkan geran peruntukan khas sebanyak RM100,000 yang akan diberikan setiap tahun kepada Persatuan Pesara Kerajaan Sabah bagi memudahkan pelaksanaan program dan aktiviti persatuan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia merupakan antara empat inisiatif baharu untuk pesara sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan mereka.

Hajiji menyampaikan sijil dan cendera kenangan kepada pesara Rusli Duhrin sempena Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 di SICC.

Menurutnya, satu lagi inisiatif ialah tambahan Bantuan Khas Kewangan kepada pesara sebanyak RM150 yang akan dicarumkan dalam akaun i-Saraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Inisiatif kedua ialah Kerajaan Negeri akan meluluskan peningkatan jumlah maksimum Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari mulai tahun hadapan, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII).

“Inisiatif ketiga ialah Kerajaan akan menyediakan pejabat untuk pesara di beberapa daerah yang akan dikenal pasti,” katanya pada Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji menyampaikan sijil penghargaan pesara kepada Joan Monica De Souza sempena Majlis Jasamu Dikenang bagi Pesara Kerajaan Negeri Sabah 2020-2022 di SICC.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi menjaga kebajikan pesara sebagai aset penting, Kerajaan telah menambah baik kemudahan rawatan perubatan yang turut dipanjangkan untuk ibu bapa pesara berpencen dan pesara skim KWSP melalui surat edaran bertarikh 15 Februari 2021.

Katanya, pengiraan faedah persaraan untuk pegawai yang dipersarakan atas sebab kesihatan juga telah ditambah baik dengan menambah tempoh perkhidmatan faedah persaraan secara isyarat untuk tempoh perkhidmatan yang kurang daripada 359 bulan, melalui Pekeliling Perkhidmatan Negeri Sabah Bil. 5/2021.

“Kerajaan juga telah meluluskan peningkatan jumlah maksimum Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 150 hari kepada 160 hari, dan kebenaran penebusan awal award GCR sebanyak 80 hari mulai Januari 2022.

“Peningkatan jumlah maksimum ini akan memberi manfaat kepada penjawat awam negeri yang bakal bersara.

“Kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai yang akan meningkatkan jumlah wang tunai yang diterima semasa bersara kelak,” katanya.

Hajiji berkata, gelaran sebagai pesara kerajaan membuka episod dan lembaran baharu kepada pesara untuk menyumbang bakti dalam apa juga cara yang boleh mereka berikan kepada masyarakat dengan menggunakan pengalaman dan pengetahuan ketika bertugas dalam perkhidmatan awam.

“Bagi pesara yang masih mempunyai tenaga dan semangat untuk terus menabur bakti kepada kerajaan dan rakyat negeri Sabah, peluang dan ruang sentiasa terbuka luas untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Kerajaan Negeri akan merancang lebih banyak inisiatif meningkatkan penglibatan pesara kerajaan yang berkemahiran dan berkepakaran dalam penetapan, pemantauan dan penilaian keberkesanan inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri,” katanya.

Justeru, beliau berharap pesara yang telah meninggalkan perkhidmatan Kerajaan akan terus menyematkan semangat cintakan negara serta mengekalkan sokongan dan keyakinan diri serta ahli keluarga kepada pemimpin serta Kerajaan yang sedang memerintah.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah menggubal Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerangka pelan pembangunan utama negeri untuk memayungi pelbagai blueprint pembangunan sektoral yang akan bergerak seiring dengan agenda pembangunan nasional di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Kita mahu semua pihak memahami Hala Tuju SMJ. Hakikatnya, SMJ adalah hala tuju kita bersama, sebagaimana jata negeri adalah hak dan milik semua anak watan Sabah. Saya berharap pesara perkhidmatan awam turut membantu untuk menjayakan agenda pembangunan ini, khususnya berkongsi dalam bentuk kemahiran dan kepakaran,” katanya lagi.

Tegas beliau, berkat kesungguhan dan muafakat semua pihak, usaha kerajaan telah menunjukkan perkembangan yang positif dan menghasilkan pelbagai pencapaian yang signifikan, dengan mengambil contoh bagi 2021, Sabah telah melakar sejarah baharu dengan kutipan hasil tertinggi sejak merdeka sebanyak RM5.449 bilion.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus komited untuk memastikan momentum ini dapat dikekalkan demi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan juga sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan perundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan.

“Kita yakin rundingan ini akan dapat memberikan jumlah pertambahan pemberian khas pada kadar yang signifikan sekali gus akan membantu meningkatkan hasil negeri.

“Kita juga mensasarkan pertambahan hasil negeri dengan penerokaan sumber baharu, inisiatif-inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui pembayaran seperti cukai, premium tanah dan royalti.

“Seperti yang saya umumkan pada 11 Oktober lalu, bergantung kepada pergerakan harga minyak, Sabah boleh menjangkakan untuk mengutip royalti dan bayaran SST daripada sektor minyak dan gas dalam lingkungan RM2.45 bilion setahun secara berterusan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, majlis berkenaan buat julung kali diadakan secara besar-besaran bagi meraikan seramai 1,167 orang pesara daripada pelbagai gred yang telah bersara sepanjang tahun 2019 hingga 2021.

Sehubungan itu, bagi pihak kerajaan negeri, Hajiji mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pesara kerajaan yang telah menabur bakti bagi memastikan jentera Kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi Kerajaan semasa masih berkhidmat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|