RUU Anti Lompat Parti dijangka dibentang bulan depan

RUU Anti Lompat Parti dijangka dibentang bulan depan

Kota Kinabalu: Usul Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, persidangan itu dijangka diadakan pada hujung November depan.

Dalam masa yang sama, katanya, ia bergantung kepada sokongan daripada pihak pembangkang kerana pindaan itu dibuat mengikut suara majoriti.

“Kita akan perkenalkan atau bawa ke persidangan DUN nanti, ia bergantung kepada sokongan daripada pihak pembangkang kerana kita perlu mendapatkan majoriti dua pertiga untuk membuat pindaan Perlembagaan.

“Kita akan bersidang mungkin pada hujung bulan November, selepas Pilihan Raya Umum (PRU-15),” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat pihak yang bertindak lompat parti, Hajiji berkata, beliau tidak pasti lagi mengenai perkara itu.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, ia berikutan tiada pengumuman rasmi daripada individu terbabit.

“Saya pun tidak tahu sama ada yang satu ini lompat atau tidak, kitapun belum ada pengumuman rasmi daripada beliau,” katanya.

Jawapan Hajiji merujuk kepada laporan sebelum ini yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas dilihat menghadiri program pembangkang anjuran Parti Warisan (WARISAN).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|