STAR sedia berdepan jika PBRS-BN mahu tanding solo

STAR sedia berdepan jika PBRS-BN mahu tanding solo

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sudah bersedia untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) termasuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) negeri jika berlaku pertembungan.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Rizal Johari, berkata STAR sentiasa sedar setiap kali ia memasuki gelanggang pilihan raya, ia bukan perlawanan terhadap sesiapa selain untuk hak Sabah dan rakyatnya.

Sehubungan itu, beliau berkata jika Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) – BN mahu bergerak solo pada PRU-15 seperti disuarakan pemimpinnya, ia terpulang kepada parti itu untuk berbuat demikian.

“STAR sentiasa bersedia untuk bertanding kerana kita sentiasa benar dalam perjuangan untuk hak negeri dan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin PBRS sebelum ini yang menyuarakan sokongan agar BN bertanding secara solo kerana menganggap kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya menguntungkan Perikatan Nasional (PN).

Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, dalam kenyataannya pada Sabtu lalu menggesa agar BN juga bergerak solo di Sabah pada PRU-15.

Kurup dilaporkan berkata, hampir 100 peratus ahli akar umbi dan bahagian PBRS menentang kerjasama di antara BN dan GRS yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah.

Kenyataan Kurup turut disokong Ketua Pemuda PBRS, Dr Edwin Laimin dan Penyelaras PBRS Batu Sapi, Mohd Fazil Ajak.

PBRS menyuarakan perkara itu walaupun Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan tidak akan ada pertembungan dengan GRS, manakala agihan kerusi pada nisbah 50:50.

Rizal berkata, jika BN Sabah memutuskan untuk bergerak solo pada PRU-15, tidak akan ada kehilangan cinta di antara mereka.

“Kita akan menghormati apa saja keputusannya. Sebagai parti tempatan dalam GRS, STAR teruskan perjuangan kita untuk memenuhi aspirasi sebenar semua rakyat Sabah.

“Kita juga menghormati gesaan PBRS tetapi jika GRS menang, kita akan menyokong mana-mana saja blok yang akan membentuk kerajaan baharu nanti demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Bagaimanapun, Rizal menekankan bahawa ia tidak bermakna kerajaan GRS akan tunduk secara membuta tuli kepada sesiapa.

“Rakyat mengundi kita kerana mereka tahu apa pendirian kita dan apa yang kita perjuangkan.

“Mereka juga tahu presiden kita, Datuk Dr Jeffrey Kitingan sentiasa konsisten dalam perjuangan politiknya.

“Musuhnya boleh mengkritik beliau semahu mereka tetapi rakyat tahu bahawa pada asasnya, dia sentiasa berjuang untuk rakyat dan generasi masa depan kita,” katanya.

Rizal berkata, adalah penting untuk rakyat tahu dengan jelas mengenai agenda sebenar mana-mana parti politik dan tidak membiarkan diri mereka dipengaruhi sentimen.

Katanya, mana-mana parti boleh mendakwa sebagai parti tempatan dan berjuang untuk hak Sabah dan rakyatnya, namun perlu juga dilihat rekod sebelum ini bagi membuktikan dakwaan itu.

Atas sebab itu, Rizal berkata STAR mahu bertanding di lima kerusi Parlimen pada PRU-15.

“Saya rasa ia adalah permintaan yang adil kerana kita adalah parti tempatan Sabah dan membawa suara rakyat ke Parlimen khususnya dari kawasan pedalaman Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|