Pemandu JTU didakwa minta dan terima rasuah

Pemandu JTU didakwa minta dan terima rasuah

Kota Kinabalu: Seorang pemandu Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) daerah Kudat, mengaku tidak bersalah, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang individu.

Wang berkenaan sebagai dorongan untuk membantu mempercepatkan permohonan kelulusan lanjutan tempoh pajakan tanah milik keluarga pengadu terbabit.

Tertuduh, Ali Hashin Nasip, 54, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 5 September 2020 tertuduh meminta wang rasuah sebanyak RM5,000 daripada pengadu bagi memudahkan urusan permohonan lanjutan berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada 19 September 2020, tertuduh didakwa menerima wang berkenaan secara rasuah di sebuah restoran di Sembulan, di sini.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Kes pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim mengenakan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan deposit RM3,500 dan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Selain itu, tertuduh juga diarahkan melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh turut dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sebelum dan semasa perbicaraan berlangsung.

Hakim kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 28 November depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|