Hanya Wetrom keluar GRS

Hanya Wetrom keluar GRS

Kota Kinabalu: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disahkan kekal bersama gabungan itu dan menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hanya ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda tidak lagi bersama GRS setelah disahkan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Sabtu lalu.

Pengesahan itu dibuat Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berdasarkan pertemuan Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah dengan semua ADUN GRS dari BERSATU, di sini, malam tadi.

Masidi yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, berkata hanya seorang wakil rakyat BERSATU tidak hadir pada pertemuan itu, iaitu ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang, namun menyatakan pendirian tetap bersama parti.

“Semua ADUN GRS dan BERSATU menyokong GRS dan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor termasuk Datuk Rubin yang tidak dapat hadir perjumpaan pada malam ini (malam tadi) kerana ada acara di kawasan,” katanya, di sini.

Difahamkan, pertemuan itu susulan khabar angin mengatakan empat lagi ADUN GRS daripada BERSATU dan ADUN Bebas mesra GRS iaitu Datuk Masiung Banah (Kuamut), Datuk Ruddy Awah (Pitas), Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) dan Rubin akan mengikut jejak Wetrom.

Sabtu lalu, Masidi mengesahkan laporan yang tular di media sosial mengatakan Wetrom keluar BERSATU dan GRS selepas dilihat menghadiri program pembangkang yang dianjurkan Parti Warisan (WARISAN).

Tindakan Wetrom itu katanya sudah dijangka kerana mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Kota Marudu yang diperuntukkan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS).

Berikutan tindakan Wetrom, ADUN BERSATU dalam GRS kini berbaki 16 orang termasuk dua ADUN Dilantik dan seorang bekas ADUN WARISAN yang keluar parti sebelum menyertai BERSATU iaitu Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik).

Secara keseluruhan, GRS yang merangkumi lima parti iaitu BERSATU, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) selain beberapa rakan mesra GRS seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), PAS dan Parti Harapan Rakyat Sabah kini mempunyai 34 ADUN.

Rakan kerjasama GRS, Barisan Nasional (BN) pula memiliki 17 ADUN manakala seorang ADUN Parti Bangsa Malaysia (PBM) menjadikan 52 kerusi dikuasai kerajaan ketika ini, manakala pembangkang menguasai 26 kerusi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|