Kota Belud: Tidak sakit pun. Itulah luahan pasangan suami isteri warga emas sebaik sahaja menerima suntikan vaksin pada Program Outreach Imunisasi Covid-19 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Abai, di sini, semalam.
Kiyuk Biyau, 81, yang juga orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Buah Pandai berkata, dia bersama isteri Samiah Kumbong, 71, tidak pernah rasa takut untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Malah saya amat gembira apabila menerima temu janji untuk pemberian vaksin dos pertama hari ini di SK Kuala Abai. Lagipun jarak pemberian vaksin tidak jauh daripada kediaman kami.
“Alhamdulillah hari ini (semalam) saya dan isteri selamat menerima vaksin dos pertama. Tidak sakit pun, sakit lagi kena gigit semut,” katanya kepada wartawan Deasoka ketika ditemui di program berkenaan.
Perkara sama turut dikongsi Samiah sebaik selesai menerima vaksin jenis Pfizer berkata, dia bersyukur selepas seminggu menunggu akhir dapat menerima vaksin.
Katanya, dia bersama suaminya yang dihantar oleh anak tiba seawal 8 pagi di SK Kuala Abai, sangat teruja dan gembira.
“Rasa lega apabila menerima suntikan vaksin walaupun sebelum dengar macam-macam cerita mengenai vaksin… alhamdulillah hari ini saya dan suami selamat divaksin.
“Alhamdulillah tidak rasa apa-apa langsung, malah rasa lega bila divaksin,” katanya.
Seorang lagi penduduk Kampung Buah Pandai, Mansor Ali, 81, turut merasa lega apabila dapat menerima vaksin di SK Kuala Abai.
“Pengambilan vaksin ini amat penting dalam melindungi diri, keluarga dan orang ramai daripada jangkitan Covid-19.
“Syukur semua ok… layanan semua petugas pun amat baik dan mudah untuk kami warga emas menerima vaksin,” katanya.
Seorang lagi penerima vaksin dari Kampung Buah Pandai, Jaharian Kumbong, 72, berkata, jangan takut untuk seusianya menerima vaksin kerana ia amat penting untuk melindungi diri daripada Covid-19.
“Harap lebih ramai warga emas seperti saya menerima vaksin… jangan takut kerana sebelum divaksin kita akan diperiksa tahap kesihatan terlebih dahulu,” katanya.
Note: Ikuti kupasan lanjut seterusnya mengenai isu vaksin Covid-19 di Sabah hanya di Deasoka.com