Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah terbakar

Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah terbakar

Keningau: Tiga keluarga hilang tempat tinggal selepas tiga rumah musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Bariawa Ulu, Jalan Kimanis, di sini, hari ini.

Kejadian jam 4.30 pagi itu, bagaimanapun tidak membabitkan sebarang mangsa yang cedera ataupun kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.30 pagi.

Katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, bersama dua jentera dan pasukan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai, api didapati masih membakar sebahagian besar ketiga-tiga rumah berkenaan dan operasi pemadaman segera dijalankan.

“Api berjaya dikawal pada jam 5.28 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya 32 minit selepas itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Affendy berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca serta jumlah kerugian dalam insiden ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|