Wanita berusia 101 tahun terima vaksin

Wanita berusia 101 tahun terima vaksin

Tuaran: Seorang wanita berusia 101 tahun mencipta rekod apabila menjadi penerima vaksin tertua, di Klinik Kesihatan Tenghilan, di sini, hari ini.

Wanita terbabit, Kagus Languan yang berasal dari Kampung Lapai, di sini, tiba di klinik pada jam 10.30 pagi dengan ditemani anak perempuannya.

Beliau yang hadir buat kali pertama untuk mendapatkan suntikan vaksin berkenaan turut menarik perhatian ramai.

Sebaik selepas proses vaksinasi, Kagus ternyata melahirkan perasaan amat bersyukur kerana berpeluang untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim berkata, beliau amat gembira dengan perkembangan pemberian vaksin yang turut membabitkan golongan warga emas di kawasannya.

Katanya, pujian juga harus diberikan kepada semua petugas dan kakitangan yang bertungkus-lumus menjalankan tugas masing-masing.

“Saya difahamkan, beliau (Kagus) sangat tenang ketika menerima suntikan vaksin dan berada dalam keadaan yang baik.

“Saya berharap kesedaran orang ramai mengenai pentingnya suntikan ini akan membantu mencapai sasaran jangkauan imuniti kelompok di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata, kerajaan mengharapkan lebih ramai akan tampil dari semasa ke semasa selepas ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|