Dua pasang seluar suspek positif Covid-19 ditemui

Dua pasang seluar suspek positif Covid-19 ditemui

Penampang: Dua pasang seluar yang dipakai suspek melarikan dari pusat kuarantin pesakit Covid-19, di Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN), di sini, ditemui di Kampung Bambangan, Inanam, pagi tadi.

Pakaian lokap berkenaan ditemui penduduk kampung kira-kira jam 10 pagi sebelum melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, berdasarkan laporan diterima, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, keempat-empat suspek ini dipercayai menukar pakaian biasa bagi mengelakkan mudah dikesan pihak berkuasa.

“Dua seluar lokap dipercayai dipakai antara tahanan yang melarikan diri, pagi tadi, ditemui di kawasan Kampung Bambangan, Inanam.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan semua suspek dapat ditahan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi, keempat-empat suspek yang disahkan positif Covid-19 dikesan melarikan diri dari ILMAN.

Empat tahanan yang melarikan diri membabitkan tiga warga asing dan seorang warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 27 tahun.

Semua suspek ditahan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323/379 akta yang sama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung semua suspek diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ditalian 088-723961 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|