Tolong bantu kami…

Tolong bantu kami…

Kota Kinabalu: Penggiat industri fotografi, videografi dan solekan merayu kerajaan supaya melonggarkan beroperasi dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Lebih 1,000 penggiat industri sama ada yang terbabit secara komersial atau secara bebas (freelance) terjejas sejak tiga bulan lalu selepas perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh kerajaan.

Wakil industri berkenaan, Mohd Danial Ramadhan Abdullah, mereka kini semakin hilang punca pendapatan dan bakal ‘gulung tikar’ jika masih tidak dibenarkan beroperasi.

“Saya wakil rakan-rakan yang terlibat dalam industri ini termasuk yang mempunyai studio ingin menyampaikan suara keluhan mereka yang terjejas dari segi pendapatan dan hilang punca pendapatan selama hampir tiga bulan ini.

“Keadaan ini turut menjejaskan dari segi pembayaran sewa premis yang dijadikan studio serta gaji pekerja.

“Jika perkara ini berlarutan, ia akan menyebabkan penggiat industri ini bakal ‘bungkus’,”katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, dia berharap kerajaan mendengar suara mereka yang terbabit dalam industri ini.

“Kami minta supaya diberi sedikit kelonggaran untuk aktiviti fotografi, videografi atau ‘make up’ mengadakan sesi penggambaran di luar dengan SOP yang ketat contohnya maksimum empat orang untuk satu sesi iaitu melibatkan pasangan, juruvideo dan jurukamera dalam satu masa yang sudah pastinya ia tidak membabitkan perhimpunan yang ramai.

“Kami juga berharap supaya studio dibenarkan beroperasi kerana apabila premis beroperasi, mereka dapat menjana atau menampung semula kerugian yang telah dihadapi selama ini,” katanya.

Seorang lagi wakil yang juga Pengarah Urusan Level Four Studio, Adam Ruhimin berkata, akibat pandemik Covid-19, pendapatanya dalam industri itu jatuh merundum sehingga 80 peratus.

“Saya terpaksa memberi cuti tanpa gaji kepada tujuh pekerja selain terpaksa menampung kos sewa studio dan utiliti lain yang mencecah lebih RM3, 000 setiap bulan.

“Pendapatan jualan pada tahun ini berbanding 2019 sebelum pandemik, jatuh sehingga 80 peratus dan menyebabkan saya sudah hampir tidak mampu bertahan kerana tiada pendapatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|