KUDAT: Lima individu cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Kampung Kandawayon, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 12.39 tengah malam itu, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia, Proton, Perodua Myvi biru, Toyota Revo dan Perodua Myvi kelabu.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kudat digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera CFRT dan EMRS.
Jentera tiba di lokasi pada jam 1.07 pagi selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian balai.
Komander Operasi, PBK II Martini Asangki melaporkan seramai lapan mangsa terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Katanya, lima mangsa mengalami kecederaan manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa yang cedera terdiri daripada dua lelaki berusia 24 dan 33 tahun yang menaiki Perodua Axia, serta seorang wanita berusia 49 tahun dan dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 24 tahun yang menaiki Perodua Myvi kelabu.
Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Tiga lagi mangsa iaitu pemandu Toyota Revo, Perodua Myvi biru dan Proton dilaporkan selamat.
Operasi turut dibantu pihak polis dan KKM sebelum ditamatkan pada jam 2.20 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
