Jumlah bekalan vaksin mencukupi, rakyat Sabah jangan risau: Shahelmey

Jumlah bekalan vaksin mencukupi, rakyat Sabah jangan risau: Shahelmey

Kota Kinabalu: Jumlah bekalan vaksin bagi negeri Sabah adalah mencukupi dengan keadaan pengagihan akan meningkat dari semasa ke semasa.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, setakat bulan Julai lalu, negeri ini telah menerima lebih sejuta dos vaksin dan jumlah berkenaan dijangka bertambah dengan skala besar.

“Jumlah vaksin bagi negeri Sabah mencukupi dan dalam keadaan yang meningkat.

“Bagi bulan Julai sahaja kita telah menerima lebih 1 juta vaksin sebagaimana yang telah dijanjikan dan bulan Ogos ini kita akan menerima dalam 1.2 juta vaksin.

“Dan yang menarik apabila vaksin satu dos telah tiba di Malaysia dan sedia untuk diagihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dipetik dalam sesi siaran langsung program Ulang Suara anjuran UMNO Sabah Online, di Kota Kinabalu, semalam.

Menurutnya, seperti mana yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini, sasaran kerajaan kini adalah menetapkan kira-kira 30,000 penerima vaksin setiap hari dengan beliau menyifatkan perkara itu bakal meningkat dalam tempoh terdekat.

“Pada asalnya kita mensasarkan 30,000 penerima sehari, tetapi berdasarkan perkembangan terkini saya difahamkan kapasiti PPV-PPV yang ada bila digabungkan seluruh Sabah, kita boleh mencapai 60,000 sehari.

“Kita menanti ketibaan vaksin yang diberi mengikut jadual, dan apabila tibanya vaksin-vaksin tersbut maka kita akan dapat melaksanakan program vaksin mengikut kadar optima,” katanya.

Shahelmey dalam pada itu menekankan, proses mencapai sasaran komuniti kelompok giat dijalankan oleh kerajaan dengan pendekatan program outreach bagi memastikan semua penduduk terutamanya di kawasan pedalaman, menerima vaksin.

“Saya ke daerah Long Pasia baru-baru ini, di mana satu program usahasama antara ATM dengan KKM.

“Mereka menggunakan aset-aset mereka untuk menuju ke kawasan luar bandar, begitu juga ada beberapa kawasan yang memang terpinggir , kita menerima bantuan CSR daripada pasukan pacuan empat roda.

“Mereka menawarkan khidmat mereka untuk membawa petugas-petugas kesihatan dan vaksin memasuki kampung yang dituju untuk tujuan pemberian vaksin dan begitu juga CSR daripada GLC-GLC yang lain turut membantu,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga menteri bertanggungjawab dalam perihal pengagihan bakul makanan kepada penduduk terkesan akibat Covid-19 di Sabah turut mendedahkan, pihaknya sentiasa bertungkus lumus dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.

Jelasnya lagi, pengagihan bantuan tersebut tidak sesekali memilih ‘warna-warna’ parti politik.

“Bagi tujuan Bantuan Perihatin Covid-19 ini, kita tidak memilih kepada warna parti politik, kita fokus kepada menyampaikan kepada golongan sasar dan golongan terkesan

“Jadi tidak kira sama ada kawasan itu ditabdir oleh parti kerajaan atau kawasan yang mana wakil rakyatnya adalah daripada parti pembangkang, bantuan terus sama diberi, kalau dia E-kasih atau B40 ikutlah list itu, kita tidak kira warna politik dalam memberi bantuan dalam pandemik Covid-19 ini,” katanya lagi.

Note: Ikuti kupasan lanjut seterusnya mengenai isu vaksin Covid-19 di Sabah hanya di Deasoka.com

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|