KOTA KINABALU: Penahanan individu yang dipercayai terlibat dalam penyebaran ajaran sesat di Kota Kinabalu baru baru ini wajar dijadikan peringatan kepada seluruh masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap fahaman dan ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam yang sebenar.
Mengulas perkara itu, Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) merangkap Pengasas TigaSatuTiga Channel, Kefayatullah Malik Aman berkata, masyarakat tidak boleh memandang ringan ancaman ajaran sesat kerana kesannya bukan sahaja merosakkan akidah individu malah boleh memecahbelahkan keluarga dan masyarakat.
Katanya, ancaman terhadap akidah umat Islam masih wujud dan ajaran sesat lazimnya tidak hadir secara terbuka, sebaliknya disampaikan secara halus melalui penggunaan istilah agama, dakwaan kerohanian atau pengaruh tokoh tertentu bagi menarik pengikut.
Beliau berkata, umat Islam perlu lebih berhati hati menerima sebarang bentuk ajaran terutama yang disampaikan melalui kumpulan tertutup, media sosial atau individu yang mendakwa mempunyai kelebihan luar biasa tanpa sandaran ilmu yang sahih.
“Masyarakat jangan mudah terpengaruh dengan ajaran yang pelik, ganjil atau bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sebarang fahaman yang mengubah asas agama, merendahkan syariat atau mendakwa mempunyai kebenaran yang bertentangan dengan al Quran, al Sunnah serta ijmak ulama hendaklah ditolak,” katanya.
Menurut beliau, antara punca ramai terjebak dengan ajaran sesat ialah sikap terlalu taksub kepada individu tertentu tanpa meneliti latar belakang ilmu, akidah dan pegangan sebenar individu tersebut.
Katanya, dalam urusan agama ukuran yang perlu dijadikan panduan ialah ilmu yang sahih, akidah yang benar serta pegangan yang bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bukannya populariti atau jumlah pengikut seseorang.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa merujuk kepada pihak berautoriti dalam perkara berkaitan agama dan akidah.
“Sekiranya timbul keraguan mengenai sesuatu ajaran atau individu, rujuklah kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), pejabat Mufti atau agamawan yang jelas pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta mempunyai sanad keilmuan yang muktabar,” ujarnya.
Tambah beliau, umat Islam di negara ini telah lama berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan akidah sahih, fiqh yang muktabar dan tasawuf yang benar sebagaimana dihuraikan para ulama sepanjang zaman.
Beliau berkata, pendidikan agama yang berterusan serta rujukan kepada guru guru bertauliah merupakan benteng utama dalam menghadapi penyebaran fahaman sesat yang semakin pelbagai ketika ini.
Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai memainkan peranan aktif membantu pihak berkuasa agama membanteras penyebaran ajaran sesat.
“Sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan, perjumpaan tertutup yang meragukan, penyebaran fahaman yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau dakwaan pelik melibatkan agama, masyarakat hendaklah segera melaporkannya kepada pihak berkuasa agama.
“Menjaga akidah adalah tanggungjawab bersama. Jangan tunggu sehingga ramai menjadi mangsa. Jika nampak sesuatu yang meragukan, laporkan kepada JHEAINS agar tindakan segera dapat diambil demi memelihara kesucian agama dan keharmonian masyarakat,” katanya.
Beliau turut mengajak seluruh umat Islam untuk terus memperkukuhkan ilmu agama, menghadiri majlis ilmu yang sahih serta berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai benteng daripada sebarang bentuk penyelewengan akidah.
