Covid-19: Kes di Sabah terus meningkat, kegagalan patuhi SOP antara punca

Covid-19: Kes di Sabah terus meningkat, kegagalan patuhi SOP antara punca

Kota Kinabalu: Sudah lebih seminggu kes Covid-19 di Sabah mencecah empat angka dengan jumlah harian tertinggi setakat ini sebanyak 1,379 kes dilaporkan semalam.

Pesakit kritikal dan memerlukan rawatan rapi termasuk menggunakan alat bantuan pernafasan juga dilaporkan meningkat setiap hari di semua hospital Covid-19 di negeri ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah terkini pesakit Covid-19 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Sabah mencapai 135 orang semalam, dengan 56 orang dilapor memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jika dibandingkan statistik sebulan lalu, hanya 54 orang ditahan dalam ICU, manakala 16 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan dilaporkan di negeri ini pada 9 Julai lalu.

Peningkatan pesakit Covid-19 kritikal yang direkodkan di negeri ini sangat ketara, lebih dua kali ganda berbanding sebulan lalu, malah ada kemungkinan jumlah itu terus bertambah berikutan situasi penularan Covid-19 yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Begitu juga dengan kes kematian, setiap hari ada saja berita sedih mengenai kehilangan nyawa akibat Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini, malah jumlahnya adakala meningkat mendadak hingga mencapai dua angka.

Kelmarin, jumlah kematian harian yang direkodkan mencecah 13 kes, iaitu antara yang tertinggi direkodkan di Sabah pada tahun ini, berbanding sifar atau hanya satu hingga dua kes kira-kira sebulan yang lalu.

Sejak penularan pandemik Covid-19 di Sabah bermula awal tahun lalu, jumlah kumulatif kematian setakat ini sudah mencapai 693 kes, satu angka yang besar walaupun peratusan berbanding jumlah kumulatif kes tidak sampai satu peratus.

Jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 yang masih dirawat di Sabah juga terus meningkat dengan seramai 4,663 orang semalam mewakili 67.15 peratus penggunaan katil, berbanding 1,867 orang sebulan lalu.

Jika dilihat jumlah kumulatif jangkitan di Sabah setakat ini yang mencatat 93,835 kes sehingga semalam, tidak mustahil angka itu boleh mencecah enam angka dalam masa seminggu dari sekarang jika kes harian berterusan lebih 1,000 kes.

Walaupun kes sembuh dilaporkan tinggi dengan jumlah kumulatif sembuh setakat ini seramai 81,713 orang, ia bukan jaminan bahawa Covid-19 tidak memberi kesan besar kepada kesihatan rakyat.

Dengan kontak rapat dikesan sebagai penyumbang tertinggi kes harian Covid-19 di Sabah kebelakangan ini, aspek kegagalan atau kelalaian pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilihat antara punca utama jangkitan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun sebelum ini menjelaskan, hanya pematuhan SOP secara total mampu menghalang penularan Covid-19, selain pengambilan vaksin lengkap.

Katanya, semakin ramai individu lalai mematuhi SOP, malah turut membabitkan mereka yang sudah menerima vaksin menyebabkan kes harian Covid-19 terus meningkat.

“Isu pematuhan SOP haruslah dipandang berat oleh masyarakat dalam usaha bersama-sama memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam membendung pandemik yang semakin melonjak di Sabah ketika ini,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, kes Covid-19 yang dikesan melalui saringan bergejala turut meningkat, memberi gambaran bahawa penularan virus berkenaan semakin sukar dikesan puncanya.

“Penularan Covid-19 sudah menjadi sporadik, iaitu tidak diketahui dari mana puncanya kerana virus berkenaan sudah berada dalam masyarakat.

“Dalam situasi ini hanya pematuhan SOP yang ketat dapat membantu kita menghalang penularan Covid-19 dan pada masa yang sama mendapatkan vaksin lengkap untuk melindungi diri,” katanya.

Statistik pemberian vaksin Covid-19 di Sabah pula, setakat semalam seramai 1,031,110 orang sudah menerima suntikan dos pertama melalui fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), manakala seramai 404,894 orang sudah menerima dua dos lengkap.

Bagi fasa pertama PICK pula, sehingga semalam seramai 58,575 orang sudah menerima dua dos lengkap vaksin, manakala seramai 67,164 menerima dos pertama.

Semalam sahaja, sebanyak 43,314 suntikan dos pertama dan kedua dilaksanakan di seluruh negeri sejajar usaha mencapai 60 peratus penduduk Sabah menerima vaksinasi lengkap menjelang 21 September depan.

Bagaimanapun, Masidi sebelum ini menjelaskan sasaran itu bergantung kepada vaksin tersedia dan penghantaran bekalan untuk negeri ini yang tidak terganggu.

Imuniti kelompok bukan saja penting sebagai syarat pembukaan semula semua sektor ekonomi dan kebebasan pergerakan, malah dilihat sebagai perisai penting untuk melawan penularan Covid-19 daripada terus meningkat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|