Pesakit Covid-19 dipindahkan dari Pulau Sebatik

Pesakit Covid-19 dipindahkan dari Pulau Sebatik

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terbabit dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, membantu menyediakan khidmat pengangkutan pesakit Covid-19 dari pulau sekitar ke pusat kuarantin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten V Siva Kumar berkata, kerjasama itu adalah usaha Maritim Malaysia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya membabitkan komuniti maritim.

Katanya, proses pemindahan pesakit ini membabitkan beberapa lokaliti di Pulau Sebatik iaitu Kampung Bergosong, Kampung Sungai Tongkang, Kampung Mentadak, Kampung Lahat-Lahat dan Kampung Wallace Bay.

“Pergerakan pesakit diselaraskan oleh petugas KKM dengan mengaturkan beberapa siri perjalanan mengikut jumlah kes positif di kawasan Pulau Sebatik.

“Setakat ini seramai 108 orang penduduk positif Covid-19 telah dipindahkan ke pusat kuarantin sejak berlaku peningkatan kes membabitkan kawasan Pulau Sebatik,” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan, hari ini.

Siva Kumar berkata, semua bot peronda dari Zon Maritim Tawau diatur gerak bagi melaksanakan penugasan ini.

Katanya, setiap anggota dibekalkan dengan peralatan PPE manakala langkah-langkah keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya.

“Proses sanitasi bot juga dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan risiko jangkitan semasa dalam tugasan,” katanya.

Sementara itu, Siva Kumar berkata, semua pesakit diturunkan di jeti Yatch Club Tawau sebelum dibawa menaiki ambulan oleh kakitangan KKM ke Pusat Kuarantin.

“Bantuan pengangkutan ini disediakan bagi melancarkan proses pengasingan pesakit positif Covid- 19 yang akan menjalani kuarantin dan rawatan susulan di pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan.

“Kerjasama semua agensi yang terlibat dalam menguruskan hal-hal berkaitan pandemik Covid-19 dilihat satu bentuk usaha bagi membantu pihak kerajaan dalam menangani krisis ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|