Jangan biarkan survival politik ganggu vaksinasi

Jangan biarkan survival politik ganggu vaksinasi

Kota Kinabalu: Tiada yang lebih penting selain memastikan program vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan di Sabah dan seluruh negara diselesaikan secepat mungkin untuk mencapai imuniti kelompok bagi menangani pandemik Covid-19 dan memastikan pemulihan negara berjalan lancar.

Itu antara mesej ditekankan seorang penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berhubung kebimbangan mengenai kemungkinan Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terjejas disebabkan pergolakan politik dalam kerajaan persekutuan kebelakangan ini.

Jelasnya, situasi politik semasa yang menyaksikan keadaan kurang stabil dan kucar-kacir dalam kerajaan persekutuan tidak mustahil boleh menjejaskan program vaksinasi Covid-19, khususnya di Sabah apabila pemimpin mengalihkan tumpuan kepada soal ‘survival’ politik.

Katanya, ia secara tidak langsung menyebabkan perkara lain termasuk usaha menangani pandemik Covid-19 dan pelaksanaan program vaksinasi terabai hingga akhirnya menjejaskan rakyat.

“Semua pihak harus memainkan peranan menggesa vaksinasi dapat dilakukan sebaik mungkin. Namun, pada ketika ini ramai pemimpin sibuk merangka tindakan untuk tujuan survival masing-masing.

“Ini menyebabkan tumpuan terhadap vaksinasi sedikit sebanyak terganggu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan berlaku kesan buruk keadaan politik kurang stabil dalam kerajaan persekutuan kebelakangan ini.

Situasi politik di Kuala Lumpur kembali panas berikutan isu darurat ketika persidangan khas Parlimen minggu lalu yang kemudian berlarutan menjadi isu politik pembangkang dalam cubaan menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Romzi yang juga Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, berkata dalam hal itu rakyat boleh menilai sikap sebenar pemimpin mereka dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Gesaan perlu dibuat kepada rakyat supaya mengenal pasti pemimpin yang demikian dan menghukum mereka ketika pilihan raya nanti.

“Kita tidak perlu pemimpin yang hanya mementingkan diri dan tidak menumpukan daya usaha membantu atau menunaikan janji yang mereka tabur,” katanya.

Mengulas lanjut, Romzi berkata setiap pemimpin wajib berlapang dada, mengamalkan sikap bersyukur, berterima kasih kepada sokongan rakyat dan kembali kepada asas perjuangan seperti dijanjikan sebelum ini.

Jelasnya, walaupun rakyat tidak dapat menghalang mana-mana pemimpin untuk bertindak berasaskan kepentingan mereka, rakyat boleh menggesa mereka berfikir secara rasional.

“Kita wajar mengesa mereka berfikir lebih rasional dengan menyedari bahawa mereka dipilih oleh rakyat untuk menangani pelbagai masalah rakyat dan bukan untuk memperjuangkan kepentingan diri.

“Selain perkara asas ini, masanya telah tiba untuk semua pihak sepakat mencari jalan atau kaedah tuntas mengekalkan kestabilan politik akan datang.

“Ini termasuklah mewujudkan akta anti lompat parti, akta yang membenarkan hukuman berat kepada pemimpin yang tidak menunaikan janji, lemah integriti serta hanya mementingkan diri,” katanya.

Sehingga semalam, jumlah penduduk menerima dua dos lengkap suntikan vaksin di Sabah baru mencapai 395,913 orang, berbanding sasaran lebih dua juta penduduk untuk mencapai imuniti kelompok atau 80 peratus populasi divaksin.

Dengan kadar pemberian vaksin melebihi 40,000 dos sehari ketika ini, Sabah dijangka mampu mencapai tahap imuniti kelompok Covid-19 menjelang akhir tahun ini.

Kerajaan negeri sebelum ini turut menekankan tumpuan diberikan terhadap usaha mempercepat vaksinasi sebagai langkah utama membendung jangkitan teruk Covid-19 dan memulihkan ekonomi, namun ia turut bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima Sabah.

Note: Ikuti kupasan lanjut seterusnya mengenai isu vaksin Covid-19 di Sabah hanya di Deasoka.com

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|