Kota Kinabalu: Tumpuan kini diberikan terhadap usaha meningkatkan dan mempercepat pemberian vaksin serta mengetatkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani penularan pandemik Covid-19 di Sabah.
Dua pendekatan itu digariskan kerajaan negeri berikutan situasi penularan Covid-19 di Sabah yang menunjukkan peningkatan kes setiap hari meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau ‘lockdown’ dilaksanakan di merata lokaliti.
Dalam kenyataan hari ini, jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kapasiti pemberian vaksin akan ditingkatkan lagi sehingga melebihi 50,000 dos suntikan sehari.
Jelasnya, jumlah suntikan harian yang tinggi penting untuk mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok bagi melindungi orang ramai daripada jangkitan teruk virus berkenaan.
“Setiap hari kita berusaha meningkatkan kapasiti Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk memberi vaksin kepada orang ramai. Kelmarin JKNS memberi 43,792 dos vaksin dan kita akan berusaha untuk meningkatkan lagi keupayaan ini sehingga melepasi 50,000 dos sehari,” katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini menetapkan kapasiti suntikan sehingga 30,000 dos sehari dan sasaran itu mula dicapai selepas pertengahan Julai.
Mengulas lanjut, Masidi berkata usaha mempercepatkan pemberian vaksin adalah pendekatan proaktif untuk menangani peningkatan kes Covid-19 yang kini mencecah empat angka.
Pada masa yang sama, katanya pematuhan terhadap prosedur operasi SOP turut ditekankan sebagai benteng untuk meminimakan jangkitan dalam kalangan masyarakat.
Hari ini saja katanya sebanyak 1,002 kes baharu dilaporkan di Sabah dengan kontak rapat masih menjadi penyumbang tertinggi kes iaitu sebanyak 591 kes atau 59 peratus daripada jumlah harian kes.
Sabah mula mencatat kes harian empat angka sejak Jumaat lalu membabitkan sebanyak 1,066 kes, diikuti semalam sebanyak 1,035 kes.
Masidi berkata, kes kontak rapat yang tinggi menggambarkan situasi penularan Covid-19 yang sudah meluas dalam masyarakat.
“Di daerah Kota Kinabalu pada hari ini saja hampir 63 peratus kes baharu datang datang daripada kontak rapat, manakala 70 peratus di Tawau, 67 peratus di Penampang dan 62 peratus di Sipitang.
“Data ini menunjukkan ruang atau kawasan penyebaran jangkitan virus Covid-19 semakin meluas dalam komuniti.
“Andaian ini diperkukuhkan lagi dengan jumlah peratusan yang tinggi iaitu 18.4 peratus atau 184 kes dalam kalangan kategori ‘bergejala’.
“Jangkitan kategori ini adalah kes sporadik, iaitu punca jangkitan tidak diketahui. Kes yang melibatkan kluster pula sekadar 13.3 peratus (133 kes) dan saringan bersasar 5.5 peratus (55 kes),” katanya.
Berdasarkan fakta yang diperolehi daripada analisis data di lapangan itu, katanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menekankan pematuhan SOP secara menyeluruh bagi menghindarkan diri dijangkiti virus Covid-19.
“Disiplin diri adalah komponen penjagaan kesihatan yang amat penting selain keperluan mendapatkan vaksinasi yang lengkap,” katanya.
Dalam kenyataannya sebelum ini, Masidi berkata pendekatan ‘lockdown’ bukan lagi kaedah terbaik menangani krisis Covid-19, malah ia menyebabkan ekonomi semakin merosot dan rakyat tertekan dengan pelbagai masalah yang timbul.
Beliau berkata, disebabkan Covid-19 sudah berada dalam komuniti, ia semakin mudah merebak dan menjangkiti ramai orang dan sukar dibendung melalui ‘lockdown’.
Katanya, hanya vaksinasi dan pematuhan SOP yang ketat mampu membantu usaha menurunkan kes dan meminimumkan kesan buruk jangkitan Covid-19 dalam masyarakat dan ekonomi.
Note: Ikuti kupasan lanjut seterusnya mengenai isu vaksin Covid-19 di Sabah hanya di Deasoka.com
-Deasoka